Kuala Lumpur, 20 Januari 2025 – Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad telah memfailkan tuntutan undang-undang di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur, terhadap penganjur konsert Hitman Solutions Live Sdn Bhd.
Tindakan ini diambil berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta karya muzik dalam beberapa konsert, termasuk
• Bunkface 15 Years of Korang
• Raisa Live in Malaysia
• Ne-Yo Live in Malaysia (2023)
• Blue Heart & Soul Tour 2023
• Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota
Selain itu, MACP turut menyatakan bahawa Hitman Solutions Live Sdn Bhd adalah penganjur beberapa konsert lain yang, menurut rekod MACP, tidak memiliki lesen sah daripada MACP. Antara konsert tersebut adalah:
• Jubin Nautiyal Live in Malaysia
• Sanam Live in Malaysia
• Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Pulau Pinang, Sabah)
• Rizky Febian: Berona Day
• UNDRGROUND – Butterfingers, Hujan & Bunkface
• Sum 41: Tour of the Setting Sun (The Final Tour)
• Incubus Live in Malaysia
• DOLLA Re: Birth The Experience
• Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia
• Bring Me The Horizon Live Featuring BABYMETAL
• Ne-Yo: Live in Malaysia (2024)
• Arijit Singh Live in Malaysia
Perbicaraan kes ini dijadualkan berlangsung pada April 2025.
Sebagai sebuah organisasi kolektif pengurusan hak cipta yang tidak berasaskan keuntungan, MACP bertanggungjawab mewakili pemegang hak cipta komposer, penulis lirik, dan penerbit muzik di Malaysia. MACP juga merupakan badan yang diiktiraf oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Tindakan undang-undang ini adalah penting untuk melindungi hak ahli MACP di Malaysia dan antarabangsa daripada penggunaan karya muzik tanpa kebenaran.
MACP komited memastikan ahlinya menerima bayaran yang adil atas penggunaan karya mereka.
Penganjur konsert, acara, dan festival, termasuk acara seperti Pinkfish Countdown 2024 yang baru-baru ini diadakan di Subang Jaya, wajib mendapatkan lesen sah daripada MACP untuk menggunakan karya muzik yang dilindungi hak cipta semasa acara mereka.
Sebarang persembahan awam tanpa kebenaran boleh mengakibatkan tindakan undang-undang, sama ada secara sivil atau jenayah, di bawah Akta Hak Cipta 1987.
MACP juga merupakan ahli Persatuan Konfederasi Antarabangsa untuk Pengarang dan Komposer (CISAC), yang terdiri daripada lebih 200 badan muzik dari 116 negara.
Melalui kerjasama dengan CISAC, MACP menguruskan lesen persembahan awam karya muzik antarabangsa di Malaysia, melindungi hak lebih daripada 5 juta komposer dan penulis di seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi MACP Berhad.
Disediakan oleh MACP Berhad