KEDATANGAN bulan Syawal begitu sinonim dengan lagu-lagu raya, sama ada lagu evergreen mahupun lagu raya terkini.
Bersempena dengan sambutan lebaran tahun ini, penyanyi Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah merakamkan sebuah single raya terbaharu yang diberi judul Lip Lap Raya. Kali terakhir beliau muncul dengan single raya pada tahun 2016 menerusi lagu Hari Kemenangan.
Lagu dan lirik Lip Lap Raya adalah ciptaan bersama Ajay Amai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan.
Lagu ini menggabungkan rentak inang, canggung serta turut diselitkan elemen dikir barat manakala liriknya pula berkisarkan kemeriahan sambutan hari raya setelah dua tahun berada dalam fasa pandemik.
“Saya gembira kerana dapat merakamkan lagu Lip Lap Raya serta menambah koleksi lagu raya nyanyian saya.
“Saya sangat berharap agar lagu ini turut menjadi sebuah lagu raya evergreen pada satu hari nanti,” kata Siti kepada The News.
Penerbit lagu, Glow Rush mengatakan bahawa keistimewaan pada lagu Lip Lap Raya adalah daripada gabungan elemen tradisional dan moden seperti penggunaan dram elektronik, synth serta vokal Siti yang menjadi kekuatan lagu tersebut.
Pihak Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd dan Universal Music Malaysia sebagai penerbit bersama single Lip Lap Raya, yakin dengan penerimaan peminat muzik tanahair terhadap karya terbaharu Siti Nurhaliza ini.
Menurut Siti sendiri, laguLip Lap Rayaadalah sebuah lagu yang dapat menarik minat pendengar walaupun baru pertama kali mendengarnya.
Lazimnya sebuah lagu baru akan mengambil masa untuk diterima atau digemari tetapi muzik yang ditampilkan menerusi lagu Lip Lap Raya akan dapat melekat di hati pendengar.