Dengan pengalaman lebih dua dekad merintis muzik hip hop tempatan, Joe Flizzow buat julung kali bakal mementaskan konsert solo, Joe Flizzow – This is Johan Live In Concert di JioSpace, Petaling Jaya pada 15 Julai depan.
Menjanjikan kelainan pada konsert yang dibawa JioBuddy dengan kerjasama Altus ProHouse itu, Joe mahu menyampaikan rangkaian lagu daripada album terbaru berjudul Johan, secara langsung buat kali pertama.
Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 44, berkata konsert solonya itu diharap mampu meninggalkan memori buat peminat yang sudah lama menantikannya.
Malah, akui penyanyi yang terkenal dengan jolokan ‘The President’ itu, peluang mementaskan konsert solo itu dianggap penghormatan besar buat karier muziknya.
“Saya tidak mahu Joe Flizzow – This is Johan Live In Concert hanya dikenang sebagai persembahan atau konsert.
“Tetapi medan itu boleh dimanfaatkan pencinta muzik untuk menghargai setiap titik peluh saya dalam berkarya hingga tahap ini.
“Hadir ke konsert ini rasakan semangat yang tidak pernah surut.
“Ada pelbagai kejutan dan kepuasan yang akan dipersembahkan kerana inilah konsert solo pertama saya sepanjang lebih 10 tahun bergerak secara solo.
“Saya janjikan konsert yang berbeza daripada kebiasaan, bukan sahaja berdiri dan menyanyi sahaja. Saya mahu berinteraksi dengan peminat dan bercerita mengenai kisah sendiri.
“Julai depan saya akan lancarkan album baharu berjudul Johan yang memuatkan 18 lagu atau 19 lagu. Lagu itu akan dipersembahkan dalam konsert itu,” katanya kepada Berita Harian di sidang media pengumuman Joe Flizzow – This is Johan Live In Concert di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas pengisian konsert, Joe yang meraih trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-29 menerusi single duet bersama SonaOne berjudul Apa Khabar, memberitahu, sebanyak 30 lagu, termasuk kolaborasi bersama penyanyi popular lain, akan dipersembahkan.
“Selain buah tangan daripada album baharu, lagu popular seperti Sampai Jadi, CIAO, Satu Malam Di Temasek, Sang Saka Biru dan Kongsi sudah tentu dinyanyikan.
“Apa yang menarik, saya ada beberapa artis jemputan yang bakal menghangatkan lagi konsert seperti SonaOne dan Alyph.
“Jika konsert ini berjaya, ia akan menjadi permulaan untuk saya lancarkan siri jelajah atau konsert berskala besar pada masa akan datang,” katanya.
Sepanjang lebih 10 tahun bergerak solo, Joe pernah muncul dengan dua album iaitu The President yang dilancarkan pada 2008 dan Havoc (2013).
Tiket menyaksikan Joe Flizzow – This Is Johan Live In Concert boleh dibeli dengan melayari www.jiotix.asia.
Sumber : Berita Harian