Kecoh Anak Abby Dan Norman Menjadi Penyondol Rumah Tangga Orang Lain, Siap ‘Check-In’

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi tampil bersuara mempertahankan anaknya, Marissa Dania Hakim, 18, yang didakwa seorang wanita menjadi penyebab kehancuran rumah tangganya.

Abby yang diserang netizen di Instagram berhubung situasi itu berkata, dia akan menjawab isu yang berlaku namun mahu membiarkan orang ramai meninggalkan komen terlebih dulu.

“Mengenai isu yang viral ini. Tidak mengapa sila komen-komen dulu. Cari pahala ya.

“Nanti saya jawab. Memang sedap bersangka-sangka, menambah cerita dan menuding jari pada orang ini,” tulisnya.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan, Abby berkongsi wajah dia bersama Marissa yang sedang tersenyum.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ibu kepada dua cahaya mata itu tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan bekas suaminya dengan anak perempuan kepada Abby dan bekas suaminya yang juga pelakon popular, Norman Hakim itu.

Wanita terbabit menerusi satu hantaran di media sosial mendedahkan Marissa yang juga pempengaruh itu didakwa menjadi penyebab utama dia diceraikan suaminya.

Dalam masa sama, wanita itu turut memaklumkan sudah meminta izin kepada Abby dan Norman untuk menularkan kisah kecurangan itu di media sosial dan laporan polis juga sudah dibuat.

“Keluarga pihak sana memang tahu. Ya isu nak viralkan ni memang tiada ‘solusi’ nak hentikan anak mereka sendiri. Dari mereka juga keizinan viral kisah ini,” tulisnya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Instagram Norman dan Abby mendapati mereka diserang netizen sejak kisah pendedahan itu dikongsikan malam tadi.

Cubaan Harian Metro menghubungi Norman bagi mendapatkan kenyataannya mengenai perkara ini tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan dan membalas mesej.

Sumber: Harian Metro