SALAH seorang ahli kumpulan Blackpink iaitu Jennie trending di laman Twitter sejak beberapa jam lalu.
Namanya yang trending turut disertakan dengan tanda pagar Respect Jennie.
Semuanya bermula apabila Jennie atau nama sebenarnya Jennie Kim, 24, melalui laman Instagram peribadi kedua miliknya iaitu @lesyeuxdenimi meminta secara umum agar ruang peribadinya dihormati.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Ice Cream duet bersama Selena Gomez itu dipercayai berkata demikian selepas akhirnya mendapat kembali laman Instagram tersebut yang digodam sejak dua bulan lalu.
Rata-rata peminat Blackpink yang menggelar diri mereka sebagai Blink turut meluahkan kekecewaan mereka terhadap nasib yang menimpa Jennie.
Malah mereka turut mengimbau kembali salah satu kenyataan Jennie dalam dokumentari Blackpink: Light Up The Sky yang disiarkan melalui penstriman Netflix yang enggan memberi komen lanjut mengenai kehidupan peribadinya.
Tanda pagar Respect Jennie dan Leave Jennie Alone mendapat lebih 150 ribu cicipan sejak petang semalam.