SEORANG influencer terkenal kacukan Jerman-Vietnam iaitu Jade Anh mendedahkan kekesalannya apabila usahanya yang terbang ke Malaysia sebelum ini untuk sesi pengambaran sebuah muzik video bersama satu kumpulan terkenal tanah air seakan sia-sia apabila adegannya dipotong dan tidak ditayangkan.
Jade yang berkongsi kisah berkenaan di laman Twitter turut menjelaskan dia hanya dimaklumkan tentang perkara itu melalui satu mesej daripada pihak kumpulan tersebut.
Tambah panas, Jade mendedahkan kemunculannya dalam muzik video tersebut dipotong gara-gara perasaan cemburu isteri vokalis kumpulan terbabit.
“Masih geli hati dengan pengalaman saya apabila terbang ke Malaysia untuk pengambaran satu klip video namun tiada pula kemunculan saya dalam klip video tersebut.
“Semuanya gara-gara rasa cemburu isteri vokalis kumpulan tersebut.
Jade bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kumpulan yang dimaksudkannya.
Namun, dunia maya tertumpu kepada cicipan balas oleh vokalis kumpulan Akim & The Majistres iaitu Akim sendiri yang mempersoalkan rasa kecewa influencer tersebut.
“Pandai eh dik…. Siapa yang kecewa sangat ni?.
“Hari ni anniversary aku, kau kacau family aku? Kau rasa kau siapa si**?
Akim yang terkenal dengan nama pena Hang Nadim turut menjawab persoalan netizen yang seakan mempertikai kewajaran pihak Akim & The Majistres memotong adegan wanita berkenaan.
“Jalan cerita MV tu yang diberitahu masa hari penggambaran MV tu. Jadi bila dah edit, rasa tak kena jalan cerita dengan maksud lagu. Jadi aku mintaklah untuk keluarkan scene-scene yang tak kena.
“Rampas tu, tulisan khas atas pemergian orang yang paling aku sayang, ibu aku. Dengan MV yang pada aku agak sensitif dan keterlaluan, aku rasa tak sesuai untuk aku keluarkan. Jadi aku amik keputusan untuk tukar semua konsep MV kepada yang boleh ditonton untuk semua.
“Termasuk keluarga aku anak-anak aku, cikgu aku, kawan ayah aku, kawan ibu aku, kawan-kawan aku, sebab aku masih berpegang pada adat dan budaya timur aku, sebab aku… Anak Ahmad…
“Aku dah kehilangan ibu aku, kalau aku keluarkan MV yang keterlaluan pada pandangan mata orang asia macam aku ni, apa pulak pandangan kekecewaan yang akan aku dapat dari ayah aku? Aku tak nak kecewakan ayah dan keluarga.
“Ini bila kita dah bagitau jalan cerita sesebuah lagu tu dah dibincangkan, tapi tetap nak buat sesuatu atas sebab “art” sebab nak kepuasan nafsu sendiri dalam berkarya. Siapakah?,” Tulis Akim.
Untuk rekod, muzik video lagu Rampas mula ditayangkan pada 2018 dan mendapat lebih 12 juta tontonan setakat ini.