Kuala Lumpur: Penyanyi Caprice mencabar individu yang meletakkan barang berupa ritual sihir di kereta isterinya, Farra Inalis atau Elis di kediaman mereka tampil bersemuka dengannya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 35, percaya perbuatan itu disengajakan dan menyifatkan ia satu ancaman terhadap keselamatan keluarganya.
“Saya tak tahu ini siapa dan bagaimana dia tahu kami tinggal di mana. Tempat ini sangat-sangat privasi dan kami tak pernah dedahkan kami tinggal di mana.
“Bagaimanapun, seseorang letak sesuatu di kereta isteri saya. Kereta lain tiada masalah. Saya percaya isteri saya jadi sasaran. Ini tak kelakar dan tak lawak dah. Ini sudah tahap mengganggu keselamatan keluarga saya,” katanya.
Dalam hantaran video di Instagram, pengawal keselamatan kediamannya dilihat memegang dan membuka barang ditinggalkan itu.
Ia seperti kain putih atau tisu yang dibungkus dengan pelitup muka berwarna hitam. Ia diletakkan di atas bonet kereta berwarna hitam.
Caprice dan isterinya membuat laporan di Balai Polis Mont Kiara, di sini.
Sumber: Kosmo