BEKAS personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim mengumumkan dirinya kini hamil tujuh bulan melalui satu posting yang dimuat naik di Instagram sebentar tadi.
Azrinaz atau nama sebenarnya Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar, 42, mengesahkan dirinya sudah hamil 30 minggu.
“Ini bukan gambar ‘throwback’. Apa yang anda lihat kini sedang berlaku.
“Saya hamil kira-kira tujuh bulan atau lebih tepat 30 minggu. Alhamdulillah, Tuhan berikan nikmat indah ini untuk kami dan saya hamil lagi pada usia sekarang.
Azrinaz juga menjelaskan dia tidak menyangka hamil sekali lagi biarpun masih dalam jarak tempoh kelahiran yang dekat dengan anak perempuannya sebelum ini.
“Saya tidak sangka hamil lagi dengan jarak kandungan yang dekat dengan Areesya Malaykha. Tapi kenapa perlu menunggu lagi, jika saya masih diberi kesempatan ini,” tulisnya.
Dalam pada itu, Azrinaz yang memberi kenyataan kepada satu portal berita menjelaskan dia dan suami tidak membuat sebarang perancangan keluarga.
Dia juga diusik sama ada bayi dikandung adalah hasil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Tak tahulah nak cakap anak PKP atau PKPB. Sejujurnya, saya tidak merancang pun,” katanya kepada BH Online.
Azrinaz memohon keluarga, teman dan pengikutnya di IG mendoakan kesejahteraan diri dan anak dikandungnya.
“Semoga segala-galanya lancar dan dipermudahkan. Saya dijangka melahirkan anak keempat ini pada awal April depan,” katanya yang merahsiakan jantina bayi dikandung.
Azrinaz melangsungkan perkahwinan dengan Fairos Khan pada 1 Mei 2018.
Sumber: berita harian