PELAKON Datuk Rosyam Nor, 56, memilih untuk ‘tanam’ rambut demi kekal kelihatan awet muda selain mahu berterusan menarik peminat baharu.
Rosyam berkata, dia bersyukur teknologi semakin maju dan boleh membantu tingkatkan penampilannya sekali gus dimanfaatkan bagi tujuan kerjaya seni.
“Sebagai seorang aktor, saya memberikan kepuasan kepada peminat saya, kepada penonton. Mereka pernah melihat saya muda. Pernah melihat rambut saya makin berkurangan.
“Nasib baik, sekarang ini ada teknologi yang boleh cabut rambut belakang tanam ke depan. Selain kepuasan kepada peminat lama, saya cuba dapatkan peminat baharu dengan penampilan saya.
“Kalau dengan penampilan ini boleh buat saya nampak muda beberapa tahun, kenapa tidak? Saya juga cuba berpakaian seelok mungkin untuk dapat peminat-peminat baharu,” katanya.
Ditemui pada sidang media drama terbitan Astro Originals berjudul Jack Yusof lakonannya kelmarin, Rosyam akui penting menitikberatkan soal itu demi kekal diminati.
“Kerana peminat lama saya yang dulu 20-an kini sudah 50-an. Saya perlukan peminat baharu. Mereka itulah ‘pembeli’ baharu. Jadi, saya cuba tampil segak sebolehnya meskipun bukanlah tampan sangat, tapi saya cuba,” katanya.
Rosyam juga memiliki pendekatan tersendiri untuk memastikan dia sentiasa memiliki kesihatan dan tenaga seperti orang muda.
“Sebenarnya saya selalu ingat umur saya 25. Itu sebenarnya motivasi sendiri saja dan juga menjaga makan. Saya guna produk durian belanda yang ditanam di ladang saya.
“Ini kerana durian belanda mengandungi anti oksida yang tinggi untuk sel-sel dalam badan kita. Bila sel-sel badan kita sihat, kita nampak sihat dan muda sedikitlah,” katanya.
Sumber gambar – XTRA | Sumber laporan – Harian Metro