Selepas hampir sebulan Allahyarham Abam Bocey meninggalkan kita ternyata kisah keluarganya menjadi antara yang hangat selama beberapa minggu ini. Jika minggu lalu isteri Allahyarham dan adiknya Ali Puteh menjadi perhatian gara-gara kenyataan yang dikeluarkan Norhidayah Mohd Ali.
Ternyata kali ini ibu Allahyarham Abam Bocey, Sabariah Arshad pula berkongsi rasa hati. Melalui laporan Berita Harian Sabariah Arshad memberitahu sehingga saat ini dia tidak mengetahui perkembangan menantu dan cucunya itu.
Katanya Norhidayah tidak meninggalkan pesan kepadanya malah dia juga tidak mempunyai nombor telefon menantunya. Lebih jelas dia juga tidak mahu mengambil tahu keadaan menantunya itu memandangkan dia sendiri sudah tua.
“Dia tidak ada nombor telefon saya. Sama juga, saya tidak menyimpan nombor telefonnya. Jadi, saya tidak tahu keadaan mereka.
“Saya tidak pernah menyuruh dan tidak melarang jika dia hendak keluar dari rumah yang disediakan arwah.
“Norhidayah tidak cakap apa-apa ketika keluar dari rumah. Biarlah, saya pun malas hendak ambil tahu. Saya sudah tua dan tidak larat lagi,” katanya.
Mengaku buta huruf, Sabariah berkata, dia tidak menyimpan nombor telefon Norhidayah kerana tidak tahu menggunakan telefon bimbit.
Bagaimanapun, Sabariah berkata, dia hanya menyimpan tujuh nombor telefon iaitu empat anaknya, dua cucu dan seorang lagi menantu.
Namun, tambahnya, semua nombor itu dimasukkan ke dalam data telefon bimbitnya oleh anak-anak.
“Saya buta huruf dan tidak pandai menggunakan telefon bimbit. Jika hendak menelefon anak-anak, saya hanya menekan punat ‘speed dial’ sahaja.
“Pada usia sekarang, saya malas hendak fikir perkara remeh. Saya reda dan maafkan apa sahaja orang lakukan kepada saya.
“Saya hanya fikir siapa yang nak bela dan beri saya makan selepas ketiadaan abang… Itu sahaja.” katanya.
Bagaimanapun, Sabariah mengaku rindukan cucunya.
“Tapi dalam keadaan sekarang, saya hanya memikirkan mengenai arwah. Selama 32 tahun dia hidup, kami tidak pernah berpisah.
“Lagi pun, saya tidak boleh lihat wajah cucu kerana asyik teringatkan arwah,” katanya.