Penyanyi, Hazama bersama tiga rakannya, iaitu Black Hanifah, Akim Ahmad dan Tomok mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung Konsert 4G’s yang masih tertangguh sehingga ke hari ini.
Dalam hantaran di Instagram, Hazama memohon agar pihak penganjur dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
“Ramai yang bertanya mengenai status Konsert 4G’s, jadi atau tak jadi. Kami pun tak ada jawapan sebenarnya. Kami ambil keputusan untuk membuat laporan polis berkenaan hal ini sebab ramai yang dah dapatkan tiket.
“Jika konsert ini tak dijalankan, pihak penganjur harus pulangkan kembali duit kepada pembeli. Kami harap, pihak penganjur dapat selesaikan hal ini secepat mungkin,” tulisnya di Instagram.
Dalam video yang dimuat naik oleh Hazama itu, keempat-empat mereka kelihatan sedang berada di hadapan Balai Polis Damansara.
Tomok yang mewakili rakan-rakannya menyeru agar pembeli yang sudah membeli tiket untuk turut sama membuat laporan polis.
“Kami baru selesai membuat laporan polis di Balai Polis Damansara berkenaan Konsert 4G’s yang sekian lama tertangguh. Kami ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket.
“Kepada pembeli-pembeli, anda boleh buat laporan polis di mana-mana balai berdekatan dan kami harap, perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Kami sudah jalankan tanggungjawab kami. Jadi, kami harap, anda dapat jalankan tanggungjawab anda juga,” katanya.
Dalam video itu juga, Tomok memohon agar peminat mendoakan agar konsert mereka di masa akan datang, dapat berlangsung dengan lancar.
“Doakan konsert yang akan datang selepas ini. Kami takkan berputus asa. Akan ada konsert lagi daripada kami, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Konsert 4G’s sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 di Istana Budaya, Kuala Lumpur namun, ditangguh ke tarikh 11 dan 12 Disember, tahun sama.
Bagaimanapun, ia masih lagi tidak berlangsung seperti dijadualkan.
Sumber : Harian Metro