Harry Khalifah terkesima jumpa Atai, terus tawarkan lagu untuk anak buah Allahyarham Sudirman itu

PENYANYI dan komposer Harry Khalifah menarik perhatian ramai apabila memuat naik beberapa video pertemuannya bersama anak saudara Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad iaitu Atai di laman sosial miliknya pagi tadi.

Harry yang juga lebih mesra di sapa Apak turut memberi bayangan bakal menghasilkan karya baharu untuk dinyanyikan Atai.

“Assalamualaikum, Alhamdulillah hari ini saya tak sangka sangat berjumpa anak saudara Allahyarham Sudirman iaitu Atai.

“Tak sangka pula saya dapat berjumpa anak buah kesayangan penghibur legenda tanah air semasa saya sedang makan di sebelah studio ini, kata Apak.

Apak kongsi pertemuan bersama Atai.

Harry, 42, juga dilihat sempat menawarkan lagu baharu untuk dinyanyikan Atai.

“Sebenarnya Apak ada lagu baharu untuk diberi kepada Atai.

“Agak-agak awak nak tak? Kejap lagi kita dengar,”

Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Zainudin, turut dilihat menunjukkan minat dengan tawaran penyanyi lagu Suaramu Syairku itu.

“Pasti boleh, tapi saya yakin karya Apak semuanya best, ringkas balas Atai.

Perkongsian Apak itu mendapat leoh 200 komen serta 50 perkongsian setakat ini.

Apak turut berkongsi video nyanyian Atai menerusi lagu Hujan.

Apak sudah siapkan lagu untuk Atai.


Terbaharu, Apak melalui laman Facebooknya mendedahkan sudah menyiapkan lagu buat Atai hasil nukilan vokalis kumpulan Khalifah iaitu Yabang.

Proses rakaman juga kan dijalankan dalam masa terdekat.

“Lagu untuk Atai dah pun siap!

“Alhamdulillah, tunggu sesi rakaman vokal pula nanti, kali ini Yabang sendiri yang buatkan lirik lagu untuk dinyanyikan Atai, tulisnya.

Allahyarham Sudirman merupakan seniman terbilang negara yang menempa kemasyhuran yang luar biasa ketika hayatnya.

Dikenali sebagai penghibur rakyat, Allahyarham Sudirman ketika zaman kegemilangannya merakamkan banyak album serta meraih pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.

Namun takdir telah menentukan, hayat Sudirman bernokhtah ketika usianya 37 tahun apabila beliau meninggal dunia pada 22 Februari 1992.