KRU dan Icon Entertainment mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan konsert genKRU untuk hari ketiga. Ini merupakan pencapaian luar biasa yang membuktikan artis tanah air mampu mencapai standard bertaraf antarabangsa.
Konsert genKRU hari pertama yang akan di adakan pada 3 Mei 2025 telah habis terjual dalam masa kurang daripada satu jam pada saat penjualan tiket di lancarkan.
Melihat sambutan yang luar biasa itu, KRU dan Icon Entertainment memutuskan untuk menambah hari kedua konsert pada 4 Mei 2025 dan Tiket untuk hari kedua juga habis terjual dalam masa 45 minit, menyebabkan ramai peminat kecewa kerana tidak berjaya mendapatkan tiket.
Atas permintaan tinggi daripada peminat, KRU dan Icon Entertainment mengambil keputusan untuk melancarkan konsert genKRU untuk hari ketiga pada 10 Mei 2025. Tarikh ini dipilih bagi memberikan masa rehat yang mencukupi kepada kumpulan KRU sebelum persembahan seterusnya.
Namun, usaha untuk mendapatkan Axiata Arena pada tarikh tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Tempat tersebut telah ditempah lebih awal oleh pihak lain, melalui rundingan dan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, keutamaan akhirnya diberikan kepada KRU dan Icon Entertainment.
Norman Abdul Halim, wakil KRU, menyatakan rasa bangga dan teruja dengan pencapaian ini. Beliau menyifatkan konsert ini sebagai lambang penghormatan besar daripada peminat muzik tanah air kepada artis Malaysia dan Malaysia memerlukan penganjur professional seperti Iman Tang.
Menurut Iman Tang dari Icon Entertainment, konsert yang di rancang kali ini bakal setanding dengan konsert artis antarabangsa.
Beliau juga kerap menyatakan bahawa jika artis seperti Jacky Cheung boleh mengadakan konsert selama enam malam berturut-turut di Axiata Arena dengan tiket habis terjual, maka tiada alasan untuk artis tempatan tidak mencapai kejayaan yang sama.
Kini, tiba masanya untuk kita, sebagai peminat, memberikan sokongan sepenuhnya kepada artis tempatan. Ayuh, bersama-sama kita buktikan bahawa artis Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan artis antarabangsa.