Fatiya Latiff Mohon Maaf, Jelaskan Dia Hanya Kerani Bukannya Peguam

PETALING JAYA – Pelakon Fatiya Latiff menegaskan dia hanya bekerja sebagai seorang kerani di sebuah firma guaman dan bukannya sebagai peguam seperti yang didakwa ramai sebelum ini.

Menurut Fatiya, penjelasan tersebut dikongsi bagi meleraikan salah faham yang menular dalam media sosial selepas dia memuat naik foto sedang bekerja baru-baru ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya bertugas sebagai kerani di sebuah firma guaman dan bukanlah merupakan seorang peguam bertauliah sebagaimana yang digambarkan dan difahami oleh sebahagian pihak.

“Sesungguhnya ini adalah salah faham yang tidak disengajakan di mana saya telah terlepas pandang,” katanya dalam Instagram hari ini.

Sehubungan itu, pelakon drama Ariana Rose itu memohon maaf sekiranya kapsyen fotonya sebelum ini telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak sekiranya sebarang kenyataan dalam media sosial telah menimbulkan kekeliruan kepada mana-mana pihak,” ujarnya.

Baru-baru ini Fatiya atau nama penuhnya Nur Fathia Abdul Latiff, 35, memuat naik fotonya sedang bekerja di sebuah pejabat guaman.

“Secara rasminya sebagai pembantu perundangan,” tulisnya dalam ruangan kapsyen sekali gus mencetuskan dakwaan dia kini bekerja sebagai pengamal perundangan.

Difahamkan, Fatiya sebelum ini menamatkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sekitar tahun 2014.

Sumber: Kosmo