Pelakon dan pengacara, Yana Samsudin atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, mendakwa insiden pertelingkahan dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu, bukan kontroversi murahan, sebaliknya, kejadian benar.
Memetik laporan Harian Metro, Yana mendakwa yang insiden tersebut berlaku ketika mengacarakan program raya terbitan Astro, dua minggu lalu.
“Apa yang berlaku bukan lakonan atau kontroversi murahan seperti sangkaan ramai, sebaliknya insiden pergaduhan ini memang berlaku.
“Saya dan suami, Fadzil Zahari tak sangka video ini tular selepas dua minggu insiden berlalu. Kami terkejut kerana percaya produser, Alif Farhan sudah menyelesaikan isu ini dengan Aliff Syukri memandangkan kejadian berlaku ketika rakaman.
“Produser beritahu akan bertanggungjawab dan menyelesaikannya. Namun, sebaliknya video pergaduhan tular dan Aliff menuntut saya membayar ganti rugi bernilai RM400,000, jika tidak berdepan tindakan saman.
“Jujurnya, saya tidak gentar dengan gertakan Aliff. Kerana prinsip saya, berani kerana benar,” dakwa penyanyi dan pengacara berumur 39 tahun berkenaan.
Terdahulu, video pergaduhan Aliff dan Fadzil tular apabila usahawan itu mengamuk dan menuduh Yana memecahkan pasu hiasan berharga RM400,000 ketika rakaman program raya di kediamannya.
Menceritakan kejadian, Yana mendakwa, dia menjalankan tugas sebagai pengacara dengan menemubual Aliff mengenai persiapan raya dan sebagainya.
“Ketika itulah Aliff mula menunjukkan barangan rumah termasuk set pinggan mangkuk jenama dan pasu mahal dimiliki.
“Pasu terletak dalam almari dan memiliki sijil, jadi saya memang tahu pasu ini barangan berharga dan takkan berani menyentuhnya.
“Aliff memegang pasu dan tunjuk kepada saya. Dia suruh saya pegang pasu, tetapi saya tak nak sentuh.
“Masa nak berikan pasu, saya tak sambut. Ketika itulah pasu terlepas daripada genggamannya dan terjatuh.
“Saya pelik kenapa barangan berharga nak suruh saya sentuh. Saya takut.
“Jadi, tuduhan saya pecahkan pasu seperti tidak masuk akal, sedangkan saya tak sentuh pun,” katanya.
Yana mendakwa, Aliff mula mengamuk macam orang hilang akal apabila pasu pecah.
“Aliff marah sebab saya tak sambut pasu. Dia yang hempas pasu, saya pula dipersalahkan.
“Dia mula membebel dan mengeluarkan perkataan menghina. Itu yang membuatkan Fadzil hilang sabar dan mula bergaduh dengannya.
“Memang kejadian Fadzil bergaduh dengannya benar-benar berlaku, bukan lakonan.
“Dalam video yang tular, saya memang agak kebingungan sebab terkejut. Saya juga cuba menenangkan keadaan dan suami pula ‘naik angin’.
“Ramai mempertikaikan wajah saya tidak seperti orang dalam ketakutan. Kenapa nak takut, sedangkan saya tak pecahkan pasu,” katanya.
Wanita kelahiran Yong Peng, Johor itu mendakwa, dia tidak gentar kerana banyak bukti ketika rakaman.
“Ketika kejadian, rakaman sedang berlangsung. Jadi, sudah tentu video rakaman jadi bukti saya tidak bersalah dan tidak memecahkan pasu.
“Jika Aliff nak saman, saya tak kisah. Saya takkan bayar ganti rugi RM400,000 sebab terang-terangan bukan saya yang menghempaskan pasu.
“Dalam rakaman kita boleh nampak Aliff seperti sengaja melepaskan pasu, jadi kenapa saya harus dipersalahkan?” dakwanya lagi.
Pelakon yang pernah mencetuskan fenomena menerusi filem Adnan Sempit dan Bini-Biniku Gangster itu mendakwa, dia mengalami kecederaan apabila percikan pasu yang terhempas terkena tangan kiri dan berdarah.
“Sepatutnya saya yang marah dan tidak puas hati. Saya menjayakan rakaman, tetapi saya pula tercedera.
“Jari manis terluka dan percikan darah terkena pada baju Aliff. Hampir dua minggu saya tersiksa sebab tak boleh memasak, malah mandi pun dalam keadaan sukar.
“Alhamdulillah, sekarang luka sudah semakin sembuh,” katanya.
Yana mendakwa, dia dan suami juga tidak mahu terbabit dengan kontroversi murahan seperti ini.
“Ramai tuduh kami berpakat dengan Aliff melakukan gimik murahan. Adakah sebelum ini saya pernah terjebak dengan gimik seperti ini?
“Saya dan suami takkan buat gimik hanya semata-mata mahukan program raya bersama Aliff ini tular.
“Jika mahukan program ini tular, saya terlebih dahulu muat naik insiden berlaku dalam media sosial, tetapi saya tak buat.
“Saya tak sangka Aliff muat naik video pergaduhan dan menuntut ganti rugi dan berikan saya tempoh 48 jam,” katanya.
Apapun, katanya, dia takkan bayar ganti rugi dan bersedia berdepan tindakan saman Aliff.
Sumber & Gambar : Harian Metro