PELAWAK dan penyampai radio Danial Zaini menjelaskan niatnya berkongsi kejayaan memiliki kereta mewah di Instagram adalah sekadar untuk membakar semangat anak muda agar tidak mengalah dalam pekerjaan yang mereka lakukan.
Malah Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 27, menganggap ini antara kejayaan terbesar yang dikecapi selepas lebih 10 tahun menghadapi pelbagai dugaan dalam mencari rezeki di ibu kota.
“Tiada niat menunjuk bila saya kongsi gambar dengan kereta mewah itu di laman sosial, sekadar nak bagi semangat kepada pengikut saya yang pernah berkongsi rasa lelah dalam pekerjaan yang dilakukan tambahan lagi dengan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
“Saya dah hadap semua itu ketika baru menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur 10 tahun lalu, pelbagai kerja saya dah pernah buat malah dah biasa jalan kaki beberapa kilometer setiap hari demi mencari sesuap nasi.
“Lebih teruk apabila saya pernah kena tipu apabila tak menerima gaji selama tiga bulan, memang saya dah biasa makan biskut setiap hari untuk alas perut. Yang penting kena rajin berusaha dan percaya kepada rezeki Allah,” kata Danial kepada The News Malaysia.
Dalam pada itu, penyampai radio Era ini sempat berseloroh kejayaannya memiliki kereta jenis Mercedes Benz CLA ini tiada kaitan dengan aktiviti macau Scam yang menjadi perbualan hangat ketika ini.
Malah penyanyi lagu Siti Bilang Cuti ini menjelaskan kereta mewah tersebut bukan dibeli dengan dengan cara tunai.
“Kereta ni saya beli hutang, tiada kena mengena dengan Macau Scam.
“Memang dah lama tanam niat nak memiliki kereta jenis ini dan dalam pada masa sama kereta lama juga dah mula mengalami pelbagai kerosakan,” jelas Danial.
Lebih menarik, Then News Malaysia turut dimaklumkan Danial turut menempah nombor plat khas yang membawa maksud namanya untuk digunapakai bersama kereta barunya itu.