Bintang Paling Popular, Bell Ngasri Terima Mini Cooper Berharga RM200,0000

KUALA LUMPUR – Tuah terus mengiringi pelakon Bell Ngasri apabila dia menerima sebuah kereta mewah Mini Cooper Clubman bernilai RM200,000 daripada DTC Motors Sdn. Bhd. sempena kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular di sini sebentar tadi.

Kereta tersebut telah disampaikan oleh penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin (KJ) sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid.

“Sebenarnya saya langsung tidak sangka akan dapat kereta kerana bagi saya hadiah yang saya terima (Bintang Paling Popular) sudah cukup besar.

“Bila ada orang nak beri saya kereta saya tidak kisah kereta apapun saya terima. Jadi, apabila diberi kereta mewah yang memang saya idamkan saya berasa cukup terharu.

“Syukur dan terima kasih kerana undian rakyat Malaysia saya dapat begitu banyak rezeki yang tidak disangka-sangka ini,” ujar Bell.

Dalam pada itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 43, mendedahkan dia tidak dapat tidur malam memikirkan kereta yang bakal diperolehi.

“Saya memang tidak boleh tidur malam, mengigau memikirkan tentang kereta. Memang ada peminat dan juga KJ yang mempersoalkan kenapa saya tidak dapat kereta?

“Jika mengikut tradisi pemenang utama semua dapat kereta. Tapi dapat trofi pun saya dah bersyukur sangat-sangat.

“Tidak sangka pada hari saya ke Hot FM untuk temubual, ada orang menghubungi Hot FM meluahkan hasrat beri kereta. Mulanya saya ingat scammer (ketawa).

“Alhamdulillah, betul saya dapat kereta. Terima kasih kepada DTC Motors dan juga semua yang berusaha merelisasikan hadiah ini,” ujar Bell yang sebelum ini telah memiliki dua buah kereta.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid berkata, pihaknya berniat untuk memberikan kereta kepada Bell selepas melihat kemenangannya tanpa sebarang kereta yang sudah menjadi kelaziman dalam pengajuran Anugerah Bintang Popular (ABP) sebelum ini.

“Saya tertanya-tanya kenapa Bell tidak dapat kereta seperti pemenang terdahulu. Saya berbincang dengan kakitangan, apa kata kita yang beri.

“Saya hubungi pihak Bell dan segala usaha dipermudahkan. Kami pilih kereta Mini Cooper Clubman kerana berasa sesuai dengan diri Bell,” ujar Afendy yang turut memberitahu DTC Motors memberikan diskaun sehingga RM50,000 selama sebulan bermula 1 Ogos ini sempena bulan kemerdekaan.

Terdahulu Bell yang popular menerusi watak Barkoba menerusi drama 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid mencetuskan fenomena seluruh Malaysia apabila namanya tersenarai sebagai lima terbaik bagi kategori Artis Komedi Popular acara berprestij terbabit.

Bell yang aktif berlakon sejak 37 tahun lalu, bagaimanapun baru kali pertama tercalon dalam acara anugerah tersebut dan berjaya membawa pulang anugerah Artis Komedi Popular dan Bintang Paling Popular dengan undian keseluruhan sebanyak 12,654,855. 

Sumber : Kosmo