“Iedil kini selamat dan baik”.
Demikian kenyataan Netflix Malaysia berhubung berita ‘kehilangan’ Iedil Dzhuhrie Alaudin seperti dikongsikan dalam Instagram pelakon tersebut sekitar tengahari tadi.
Menerusi kenyataan sama, pihak terbabit memaklumkan khabar membabitkan Iedil atau nama sebenarnya, Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin
adalah sebahagian daripada promosi pemasaran sahaja.
Begitupun, penyedia perkhidmatan penstriman berkenaan tidak memperincikan butiran kempen yang mencetuskan kekalutan ramai terutama dalam kalangan peminat bintang The Assistant itu.
“Kami menghargai kebimbangan dan pertanyaan anda mengenai siaran dalam talian baru-baru ini mengenai kehilangan Iedil.
“Kami ingin memberi jaminan kepada semua orang bahawa ini adalah sebahagian daripada promosi pemasaran,” kata kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Netflix Malaysia memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang berpunca daripada promosi berkenaan.
“Kami amat menghargai pemahaman dan sokongan anda pada masa ini.
“Terima kasih kerana menghormati komitmen Iedil terhadap seni dan kerjanya.
“Butiran lanjut mengenai kempen akan didedahkan tidak lama lagi,” ulas kenyataan terbabit.
Terdahulu, pelakon berusia 39 tahun itu didakwa gagal dikesan selepas menghadiri majlis pelancaran filem Netflix, Extraction 2 di Manila, Filipina, pada 5 Jun lalu
“Kami tertanya-tanya apa berlaku kepadanya sebab sudah cuba menghubunginya secara peribadi tetapi tiada jawapan.
“Jika anda semua tahu Iedil dekat mana, sila maklum kepada kami menerusi ‘direct message’,” tulis hantaran dalam status Instagram aktor itu sendiri.
Pada awal bulan ini Iedil bersama Datuk Aaron Aziz diundang mewakili Malaysia ke acara karpet merah dan tayangan perdana Extraction 2 yang berlangsung di Manila, Filipina.
Pada acara tersebut, kedua-dua mereka berpeluang sepentas dengan Christ Hemsworth selaku bintang utama filem berkenaan selain pengarahnya Sam Hargrave.
Extraction 2 merupakan sekuel daripada filem pertama yang diterbitkan pada 2020 dan mula ditayangkan di Netflix bermula 16 Jun lalu.
Sementara itu, dalam ruangan komen dalam Instagram Iedil rata-rata pengikut seolah-olah dapat menghidu khabar tersebut hanya gimik selepas melihat kelibat aktor terbabit dalam Insta Story isterinya, Prisia Nasution, malam tadi.
Ada dalam kalangan netizen turut meninggalkan komen berharap berita membimbangkan sebegitu tidak dijadikan bahan gurauan.
“Jika ini taktik pemasaran, perkara ini tidak lucu,” kata seorang netizen.
Sumber : Kosmo