Bekas K-Pop idol ini dedah bahagian pembedahan plastik mana paling popular dikalangan artis Korea

TIDAK dinafikan, walaupun kini ramai orang yang terbuka untuk menerima trend pembedahan plastik bagi menambah baik penampilan. Masih ramai yang tidak terbuka untuk mengaku bahawa mereka telah melakukannya.

Tak terlepas juga dengan negara Korea Selatan yang mana ada juga dikalangan artis mereka yang menjalankan prosedur kosmetik bagi mendapatkan rupa yang diinginkan.

Baru-baru ini, sebuah perkongsian video oleh bekas K-Pop idol iaitu Way merupakan salah seorang anggota Crayon Pop telah mendedahkan antara tujuh prosedur kosmetik paling popular di kalangan selebriti K-Pop.

Menurutnya, hampir 90% daripada selebriti K-pop telah disyorkan untuk mendapatkan prosedur pergigian kosmetik. Way juga mengaku telah menjalani pembedahan gusi agar bahagian gusinya kelihatan lebih menarik. Selain itu, prosedur pemutihan dan pendakap gigi yang perlu digunakan sebelum rasmi masuk ke dalam industri hiburan juga adalah diperlukan supaya senyuman mereka akan nampak lebih baik.

Dalam pada itu, prosedur membentuk semula rahang muka juga sangat popular dikalangan K-Pop idol kerana bagi memenuhi standard kecantikan Korea Selatan ada di antara mereka yang melakukan operasi pembedahan tulang muka agar kelihatan lebih kecil dan berbentuk ‘V’. Bagi wanita pula, ada yang diminta oleh pihak agensi agar membuat pembedahan payudara agar sesuai dengan konsep seksi dalam lagu mahupun sebagai artis.

https://youtube.com/watch?v=wDXIFT0LjBw

Way juga turut mendedahkan bahawa ‘lip filler’ adalah sesuatu yang popular di kalangan selebriti dan dia turut mengakui gemar untuk mengambil ‘lip filler’ supaya bibirnya kelihatan mugil. Kemudian, disebabkan imej K-Pop idol perlu kelihatan ‘baby face’, pengambilan botox juga adalah sesuatu yang gemar dilakukan oleh selebriti di Korea Selatan. Jadi, memang tidak pelik kenapa wajah mereka sentiasa kelihatan tegang dan segar sepanjang masa.

Selain itu, walaupun ini bukan termasuk dalam kategori pembedahan plastik tetapi LASIK juga adalah antara hal yang sering dilakukan oleh artis di Korea Selatan. Seperti yang diketahui umum, rata-rata penduduk di Korea Selatan mempunyai masalah mata rabun. Jadi, ramai di antara K-Pop idol yang menggunakan khidmat LASIK iaitu laser pemotong untuk ubah kornea mata supaya mereka tidak perlu memakai cermin mata. Jelas Way lagi dalam Youtube, pembedahan kelopak mata berganda atau double eyelid juga adalah sesuatu yang sangat popular di kalangan orang dalam industri hiburan Korea.

Way juga menjelaskan, “ada beberapa orang yang menderita kerana tidak puas hati dengan hasil pembedahan. Namun ada juga yang hidup mereka berubah menjadi lebih baik selepas melakukan beberapa prosedur”.