PELAKON Linda Hashim, 39, dan suaminya juga pelakon Beego, 43, mengesahkan mereka pernah bercerai pada 27 Mac lalu, namun jodoh masih panjang apabila rujuk semula ketika masih dalam edah pada 9 April lalu.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim ditemui berkata, perceraian dia dan suaminya itu berlaku disebabkan tiada persefahaman selain kurang berkomunikasi.
“Perceraian kami bukan disebabkan oleh penyondol (orang ketiga). Begitu juga, bukan kerana masalah kewangan sebagaimana dihadapi pasangan lain.
“Macam yang saya katakan, kami memang berhadapan masalah persefahaman dalam komunikasi. Ia berpunca, mungkin kerana banyak perkara yang masing-masing pendam di dalam hati sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Linda hadir bersama Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Sementara itu, Beego berkata apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka adalah asam garam dalam perhubungan setiap pasangan suami dan isteri berkahwin.
“Saya percaya, setiap pasangan yang berkahwin itu akan berhadapan ujian-ujiannya. Lima tahun awal (berkahwin) diuji dengan persefahaman dan untuk 10 tahun perkahwinan pula diuji perkara lain.
“Apapun, saya bersyukur kami boleh berbaik semula dalam tempoh yang singkat dan dapat menyelamatkan rumah tangga ini semula demi perasaan kami dan anak-anak,” katanya.
Beego berkata, dia dan isterinya selama ini tidak berkongsikan paparan kisah kehidupan mereka di media sosial. Bagaimanapun, dia tidak menduga masalah rumah tangga dan perceraian mereka diketahui media.
“Saya terkejut kedatangan kami ke mahkamah pagi ini diketahui media. Ini kerana, saya berusaha menyembunyikan kisah rumah tangga kami kerana melihat ramai pasangan selebriti kini berhadapan masalah rumah tangga,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Terdahulu, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pelakon wanita turut berdepan masalah rumah tangga dan secara diam-diam hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 18 April lalu bagi menyelesaikan masalah rumah tangga dengan suaminya.
Sumber gambar & laporan – Harian Metro