KUALA LUMPUR – Penyanyi Baby Shima mengumumkan tidak jadi bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.
Perkara ini dimaklumkan menerusi hantaran terbaru yang dimuat naik menerusi Instagram, hari ini.
“Maaf semua tak jadi nak tanding,” tulisnya ringkas.
Bersama hantaran ini, Baby Shima turut memuat naik videonya bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ.
Baby Shima berdialog dengan KJ berkenaan hasratnya untuk bertanding dalam PRN dan KJ bertanya kembali adakah perkara ini serius.
Dia seterusnya bertanya KJ kawasan yang mana sesuai untuknya dan KJ menjawab Baby Shima sesuai bertanding di Kelantan.
Video ini diakhiri dengan bunyi krik…krik…krik.
“Alamak! kalau macam tu, maaf YB KJ, Shima tak jadilah nak bertanding,” tulisnya lagi.
Ia sekali gus menunjukkan hantaran Instagram sebelum ini hanya bertujuan bergurau dengan netizen.
Semalam, Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 30, memuat naik video berkenaan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRN.
Baby Shima berkata, misinya bertanding semata-mata kerana mahu membela nasib rakyat.
“Assalamualaikum rakyat Malaysia. Dengan ini saya ingin mengumumkan yang saya akan bertanding PRN ini untuk berkhidmat dan membela rakyat.
“Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” katanya.
Sumber : Berita Harian