ARTIS pop Korea atau lebih popular dipanggil K-Pop mengungguli carta jualan album terlaris dunia sepanjang tahun lalu, dengan membarisi lapan daripada 10 album tersenarai.
Kumpulan super K-Pop, BTS antara yang mengungguli Carta Jualan Album Global Persekutuan Antarabangsa Industri Fonografi (IFPI) selaku organisasi mewakili industri rakaman seluruh dunia itu.
Menurut laporan Harian Metro, BTS berjaya mengekalkan kedudukan lima teratas dalam carta itu selama tiga tahun berturut-turut, apabila disenarai pada tempat kedua melalui album ‘Proof’.
Bagaimanapun, puncak carta diungguli Penyanyi Taiwan, Jay Chou, menerusi album ‘Greatest Works of Art’, manakala album ‘Midnights’ oleh Taylor Swift menduduki tempat ketiga.
Kedudukan dalam Carta Jualan Album Global IFPI dinilai secara tahunan berdasarkan bilangan unit album terjual mewakili semua format fizikal, termasuk muat turun album penuh secara berbayar.
Selain BTS, kumpulan Stray Kids, juga disenarai pada tempat keempat menerusi album ‘Maxident’, dilanjutkan dengan Seventeen melalui album ‘Face the Sun’ di tempat kelima dan Enhypen di tempat keenam melalui album ‘Manifesto: Day 1’.
Kumpulan wanita paling popular di dunia, Blackpink pula menduduki tempat ketujuh menerusi album ‘Born Pink’, diikuti Stray Kids dengan album ‘Ordinary’ di tempat kelapan.
Album ‘Sector 17’ oleh Seventeen pula berada di tempat kesembilan dan kumpulan Tomorrow X Together di tangga ke-10 menerusi album ‘Minisode 2: Thursday’s Child’.
Sumber gambar – Gulf News | Sumber laporan – Harian Metro