PELAKON veteran, Aripah Damanhuri, 73, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 8.15 pagi tadi selepas lebih sebulan dimasukkan ke hospital.
Anak Allahyarham Aripah, Nurpais Ismail, 42, berkata, ibunya secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan doktor mengesahkan jantungnya sudah tidak berfungsi, lapor Berita Harian.
“Semalam, emak masih sedar, cuma tidak boleh bercakap kerana menggunakan trakeostomi bagi membantu bernafas.
“Bagaimanapun, pagi tadi, kakak terima panggilan telefon dari hospital memaklumkan emak tidak sedarkan diri dan jantung tidak berfungsi.
“Hospital cuba sedaya upaya menyelamatkan emak, malangnya, tidak berjaya,” katanya kepada BH Online.
Pada 23 April lalu, Allahyarham Aripah dimasukkan ke HKL akibat jangkitan kuman pada paru-paru hingga terpaksa ditidurkan.
Nurpais berkata, sebelum ini, doktor memaklumkan keadaan ibu semakin baik dan dipindahkan ke wad biasa.
“Emak dipindahkan ke wad biasa selepas lebih tiga minggu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). Doktor ada beri suntikan untuk menguatkan jantungnya,” katanya.
Nurpais berkata, jenazah ibu akan dimandi dan dikafankan di HKL sebelum dibawa ke Surau Tarbiah, Taman Melewar, Gombak untuk disolatkan.
“Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Taman Batu Muda. Namun, keluarga belum dapat memastikan waktu pengebumian.
“Kami masih menanti Jabatan Forensik menguruskan jenazah emak,” katanya.
Allahyarham Aripah yang juga kakak kepada aktres Normah Damanhuri, bergiat aktif dalam dunia lakonan sejak 1980.
Sumber: Berita Harian