PETALING JAYA – Konsert Good Vibes yang dijadualkan berlangsung malam ini dan esok dibatalkan serta-merta.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tindakan tersebut merupakan bukti Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi terhadap tindakan mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang di Malaysia.
“Saya telah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari United Kingdom (UK), The 1975 di Sepang malam tadi.
“Saya faham, tindakan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket.
“Sehubungan itu, saya telah menggesa penganjur supaya mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli tiket,” katanya menerusi hantaran di Instagram sebentar tadi.
Tambah Fahmi, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara.
“Bagaimanapun, jangan sesekali sentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya.
Selain persembahan The 1975, antara nama-nama besar antarabangsa yang bakal membuat persembahan malam ini dan esok adalah The Kid Laroi dan kumpulan rock indie, The Strokes.
Sumber : Kosmo