Komposer dan penyanyi, Edry Abdul Halim, berkongsi sebuah video di Instagram pada 22 Disember 2024 yang meluahkan rasa kecewa terhadap perlakuan sebahagian orang ramai terhadap anaknya yang menghidap autisme. Pada sidang media konsert genKRU yang diadakan pada 3 Januari 2025, Edry menjelaskan kejadian tersebut dengan lebih terperinci.
Edry masih terkenang insiden pahit ketika anak autisme beliau dimaki oleh seorang pekerja kedai. Beliau berharap orang ramai akan lebih peka terhadap situasi yang melibatkan kanak-kanak kelainan upaya (OKU).
“Insiden yang hanya berlangsung selama dua minit itu memberi luka yang mendalam dan akan terus berbekas sepanjang hayat, kerana anak autisme saya dimaki hanya kerana mahu minum air,” katanya.
Menurut Edry, tujuan beliau berkongsi pengalaman tersebut bukan untuk memalukan kakitangan atau menularkan kedai tersebut, tetapi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. “Apa pun, kerana dua botol air dan dua minit itu, kami sekeluarga terpaksa menghadapi memori pahit. Melihat seseorang dimaki seperti anjing, apatah lagi anak istimewa, bagi saya itu bukanlah layanan yang sewajarnya diberikan kepada mereka,” tambahnya.
Edry juga menegaskan bahawa tiada ibu bapa yang ingin melihat anak mereka menjadi sasaran kemarahan orang ramai, apatah lagi jika anak tersebut seorang yang istimewa seperti Emery, yang pada usia 17 tahun masih tidak dapat bercakap atau menyampaikan kehendaknya melalui kata-kata.
“Masa kejadian, saya berkata kepada Emery, ‘Kedai dah tutup.’ Saya juga memberi ‘hint’ kepada pekerja kedai tersebut bahawa Emery tidak boleh bercakap. Jika dilihat, jelas bahawa dia tidak seperti orang normal. Pekerja itu berulang kali berkata ‘closed’ (tutup).
“Saya memberitahunya bahawa Emery ingin melihat menu, supaya dia dapat membuat keputusan. Kemudian, Emery terus meluru ke peti sejuk untuk mengambil air. Ketika itulah, pekerja terbabit menjerit di hadapan muka Emery. Dia tidak marah kepada saya, tetapi menjerit langsung di depan Emery.
“Apabila dia menjerit kepada Emery, saya tidak dapat menahan diri dan terpaksa menunjukkan isyarat jari ke kepala tanda ‘gila’. Bayangkan, sebagai seorang ayah, saya terpaksa menyebut anak saya gila supaya pekerja itu faham keadaan Emery dan memberikan layanan yang lebih baik, sesuai dengan keadaan manusiawi,” katanya.
The News berharap kejadian seperti ini tidak lagi berlaku di kalangan rakyat Malaysia. Mungkin kedai tersebut perlu memberi teguran kepada kakitangan mereka atau memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) agar mereka dapat memberikan layanan yang lebih berperikemanusiaan.