PELAKON Adam Corrie kini lebih berhati-hati apabila menjalankan urus niaga dengan mana-mana pihak kerana pernah ditipu oleh rakan sendiri.
Adam atau nama sebenar Adam Corrie Lee Abdullah, menjelaskan yang pengalaman tersebut mengajarnya utnuk tidak mudah mempercayai mana-mana individu terutamanya urusan yang melibatkan wang ringgit.
“Saya terima banyak tawaran untuk buka gerai, tetapi banyak juga yang saya tolak kerana selain tiada tenaga kerja mencukupi, pemberi sewa meminta bayaran pendahuluan secara cash.
“Sebelum ini saya kerugian RM100,000 gara-gara ditipu seorang lelaki yang mendakwa dirinya pereka fesyen. Dia menghilangkan diri dan sampai hari ini wang tidak dikembalikan.
“Disebabkan itu saya cukup berhati-hati apabila melakukan urus niaga tunai kerana saya tak mahu pisang berbuah dua kali,” ujarnya kepada Xtra.
Adam yang menceburkan dalam bidang perniagaan baju kurta sejak sembilan tahun mengakui pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya.
“Sembilan tahun saya bergelut, perjalanan yang saya tempuh tidak mudah.
“Macam-macam saya hadapi, dituduh bidaah, ditipu rakan dan sebagainya. Tetapi, Alhamdulillah, rezeki tidak putus dan baju yang saya jual, laris.
“Segala kesulitan dan masalah yang saya hadapi, saya adukan kepada Allah sahaja. Itu adalah kekuatan, selain sokongan isteri yang membuatkan perniagaan saya bertahan sehingga hari ini,” kata beliau lagi.
Gambar : Utusan | Sumber : Xtra