Kerani Syarikat Swasta Rajin Buat ‘Part Time’ Potong Rumput Walaupun Berkelulusan Diploma

    MOHD Syafiq Nazri Mahamad Nasir bukan sembarangan pemotong rumput kerana dia adalah pemegang Diploma Alam Sekitar lulusan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, Selangor.

    Meskipun ada kelulusan, bapa seorang anak berusia 29 tahun itu tidak malu mencari rezeki dalam bidang berkenaan bagi menambah pendapatan.

    Pada masa sama, Mohd Syafiq Nazri juga ada kerja tetap iaitu sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

    Menurut Mohd Syafiq Nazri, dia melakukan dua pekerjaan itu sejak empat tahun lalu dengan niat menambah pendapatan bagi menyara isteri dan cahaya mata perempuan hasil perkahwinan mereka.

    “Tiada apa hendak dimalukan kerana saya sudah diajar berdikari mencari wang sendiri sejak berusia 13 tahun lagi iaitu selepas tinggal bersama bapa saudara.

    “Saya tinggal dengannyanya selepas ibu dan ayah berpisah. Sejak itu, saya bantu bapa saudara melakukan kerja sampingan iaitu memotong rumput rumah ke rumah di sekitar Gong Badak, Terengganu.

    “Daripada situ, saya terinspirasi untuk terus menawarkan khidmat memotong rumput. Alhamdulillah, isteri dan keluarga beri sokongan, malah penerimaan mereka sangat positif kerana tahu pulangannya amat baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

    Bercerita lanjut, Mohd Syafiq Nazri berkata, cabaran utama pekerjaan itu adalah untuk membahagikan masa yang banyak dihabiskan dengan kerja berbanding keluarga.

    Ini kerana, selesai tugas di pejabat, dia perlu ke lapangan untuk memotong rumput bermula jam 5 sehingga jam 7 malam.

    “Alhamdulillah, saya mampu memperoleh antara RM70 hingga RM100 bagi sebuah rumah dalam tempoh tiga ke empat jam bekerja.

    “Bagi saya, ia sangat berbaloi terutama jika tuan rumah puas hati dengan hasil kerja. Cuma agak kekurangan masa dengan keluarga.

    “Pada masa sama ada juga risiko kerja ini seperti cedera di badan akibat terkena batu,” katanya.

    Mohd Syafiq Nazri turut mengakui, perkhidmatan memotong rumput ditawarkannya juga mendapat persaingan sengit.

    Disebabkan itu, Mohd Syafiq Nazri menggunakan TikTok miliknya, @pilotdaratmanirganu bagi mempromosikan khidmat itu.

    Malah, dia bersyukur kerana percubaannya berhasil dan menerima banyak tempahan dari seluruh daerah ini, Marang dan Setiu selepas video perkongsiannya tular.

    “Bagaimanapun, saya bukan sekadar mempromosi perkhidmatan berkenaan, malah turut memuat naik video kempen kesedaran pembuangan sampah,” katanya.

    Menurut Mohd Syafiq Nazri, segelintir masyarakat dilihat gemar membuang sampah seperti perabot, kayu serta barangan di kawasan yang bukan tempat pembuangan sesuai.

    Sumber : Harian Metro