GELARAN ‘penyondol’ kepada wanita yang mengahwini suami orang adalah tidak tepat malah memberi gambaran buruk tentang perkara yang dihalalkan dalam Islam.
Pendakwah terkenal, Ustaz Datuk Mohd Kazim Elias al-Hafiz menegur tindakan segelintir pihak yang melabelkan wanita berkenaan sebagai penyondol sedangkan di sisi syarak, keadaan itu dibolehkan.
“Siapa kita nak (hendak) label wanita itu sebagai penyondol sedangkan Allah SWT sudah menghalalkan perkara berkenaan apabila lelaki itu berkemampuan.
“Baginda Rasulullah SAW juga mempunyai lebih daripada seorang isteri, apakah kita nak cakap isteri-isteri baginda itu dengan gelaran berkenaan? Jangan kita sedap mulut saja kerana geram atau marah sedangkan istilah itu sangat tidak sesuai,” katanya kepada Harian Metro, ketika dihubungi.
Mohd Kazim berkata, beliau melihat wujud ‘trend’ yang sangat membimbangkan bahawa ramai dalam kalangan wanita terbawa-bawa dengan emosi marah serta geram sekali gus melabelkan wanita yang berkahwin dengan suami orang ini sebagai penyondol.
Beliau berkata, ia memberi gambaran bahawa berkahwin lebih daripada seorang ini salah di sisi Islam sedangkan hakikat sebenar tidak sebegitu.
“Poligami ini dibenarkan dalam Islam jika lelaki berkenaan berkemampuan. Kita pula seolah-olah ingin larang atau memberi persepsi bahawa poligami ini buruk dan salah.
“Siapa kita ingin lawan ketetapan yang sudah dibuat oleh Allah SWT. Jangan kita ikutkan emosi dan marah ini dengan melabelkan orang dengan sesuka hati kerana kita bimbang mungkin akidah kita yang menjadi taruhan kelak,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Beliau menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dalam menggunakan istilah gelaran kepada orang lain khususnya tentang perkara yang sudah jelas dibolehkan dalam Islam seperti isu poligami.
“Jika lelaki berkenaan berkemampuan daripada aspek material serta fizikal, poligami berkenaan tidak menjadi masalah untuknya. Kenapa pula kita perlu label wanita yang dikahwininya dengan gelaran yang tidak sepatutnya.
“Ini tindakan yang tidak betul… Malah memberi gambaran yang salah. Kita harus berhati-hati dan mengawal emosi kita jangan sampai melangkaui perkara yang sudah jelas dibolehkan dalam Islam, kita pula yang ‘mengharamkan’,” katanya.
Sumber gambar – The Patriots | Sumber laporan – Harian Metro