Durian Di Balik Pulau Sedap Dan Berkualiti Disebabkan Persekitaran Yang Dikelilingi Laut

    Persekitaran bahagian negeri Pulau Pinang yang dikelilingi laut termasuk ekosistemnya yang seimbang menjadi faktor utama pengeluaran raja buah Balik Pulau berhasil dan berkualiti.

    Pemilik ladang durian, Tan Chee Keat, 32, berkata, kedudukan lokasinya yang unik dilihat mampu mempengaruhi rasa durian selain menjadikan isi buah masak sepenuhnya.

    “Malah tidak dinafikan angin laut juga dilihat sebagai baja semula jadi yang mampu menghasilkan rasa isi durian lebih sedap, padu dan berkualiti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Durian dan Agrofest Pulau Pinang 2023 di Kubang Semang, Seberang Perai kelmarin.

    Dia yang juga merupakan pemenang Durian Terbaik Kategori Klon D163 (hor lor) menerusi Pertandingan Durian Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 itu memberitahu, faktor unik tersebut juga mampu membezakan durian Pulau Pinang dengan varieti buah negeri lain dalam pasaran.

    Chee Keat bersama bapanya, Tan Eow Chong ketika ditemui di Mengkuang Titi, Kubang Semang kelmarin. | Foto : Kosmo

    “Hal ini memang terbukti apabila saya mengambil contoh rasa durian Udang Merah dari negeri lain.

    “Rasanya agak manis berbanding durian Udang Merah dari Balik Pulau yang lebih kepada manis-manis pahit,” jelasnya yang berasal dari keluarga pengusaha durian sejak tiga generasi lagi.

    Menurut Chee Keat, pihaknya turut mengeksport durian sejuk beku ke negara luar antaranya China, Australia dan Amerika Syarikat dengan hasil pendapatan mencecah kira-kira RM2 juta semusim.

    “Pihak kami juga dalam perancangan untuk mengeksport durian Balik Pulau ke negara Emiriah Arab Bersatu seperti Dubai kerana banyak orang kita (Malaysia) tinggal di sana dan menginginkan durian Balik Pulau,” ujarnya yang memberitahu di pasaran Dubai hanya terdapat durian dari negara Thailand sahaja.

    Dalam pada itu, katanya lagi, ramai pelanggan dari seluruh pelosok negara akan berkunjung ke dusun durian miliknya dan keluarga di Balik Pulau bagi merasai sendiri keenakan raja buah tersebut setiap kali menjelangnya musim durian.

    “Paling ramai (pelanggan) ialah dari Kuala Lumpur. Durian yang sering menjadi buruan pelanggan pula adalah jenis udang merah dan hor lor. Memang popular ketika ini,” katanya yang memiliki dusun durian di Titi Serong, Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Relau dan juga Sungai Ara yang kesemuanya berkeluasan kira-kira 68 hektar (170 ekar).

    Sumber : Kosmo