Adam Aizad, Remaja 14 Tahun Bahagi Masa Untuk Belajar Dan Galas Tanggungjawab Menjaga Ibu Dan Bapa Yang Sakit

    Jika remaja seusianya kini sedang menikmati keseronokan, namun sebaliknya bagi , 14, yang kini menggalas tanggungjawab menjaga kedua-dua ibu bapanya yang sakit.

    Ibunya, Rahayu Daud, 49, menderita penyakit buah pinggang tahap lima sejak lebih setahun lalu dan pada masa sama turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sehingga menjejaskan penglihatannya.

    Katanya, keluarganya terus ditimpa dugaan apabila bapanya, Mazlan Latif, 59, diserang angin ahmar sebelah kanan pada Ogos tahun lalu selepas tiba-tiba rebah ketika menjaga ibunya yang sedang sakit di hospital pada ketika itu.

    “Sejak diserang angin ahmar, ayah hanya terlantar di atas tilam dan perlu dipakai lampin pakai buang selain bergantung sepenuhnya pada susu yang diberikan melalui saluran tiub yang dipasang di bahagian hidung.

    “Selain angin ahmar, ayah juga menghidap kencing manis, jantung serta darah tinggi dan memerlukan penjagaan rapi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Batu Jong.

    Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan turut menyampaikan wang zakat bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Muhammad Adam Aizad yang juga anak tunggal berkata, dia tidak pernah berasa tertekan menguruskan kedua-dua ibu bapanya yang sakit walaupun pada masa sama perlu membahagikan masa untuk belajar dan menyiapkan tugasan sekolah.

    “Ketika cuti sekolah kebanyakan masa dihabiskan untuk menguruskan ibu dan ayah selain melakukan kerja rumah termasuk membasuh pakaian dan juga memasak.

    “Walaupun ibu mampu untuk bergerak, namun mata sebelah kirinya langsung tidak boleh melihat, manakala mata sebelah kanan pula kabur.

    “Selagi saya mampu melakukannya semua kerja ini sendiri kerana tidak akan menyusahkan ibu,” katanya.

    Sementara itu, Rahayu berkata, mereka sekeluarga bergantung harap kepada ihsan saudara mara dan jiran tetangga selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh sebanyak RM500 sebulan.

    “Kami sekeluarga perlu berjimat cermat dan wang sedekah yang dihulurkan akan didahulukan untuk membeli keperluan suami terutamanya susu yang berharga RM112 setin dan mampu bertahan untuk tempoh tiga hari.

    “Keseluruhannya saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,500 setiap bulan hanya untuk keperluan suami,” katanya.

    Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 03072022201780 atas nama Rahayu Daud.

    Sumber : Harian Metro