KUALA LUMPUR, 3 Februari 2025 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Memetik hantaran di laman Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menzahirkan penghargaan atas titah Seri Paduka Baginda yang menekankan kepentingan kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.
Dalam titah diraja, Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar serta terus menarik pelaburan asing dan domestik bagi menjamin kemajuan ekonomi negara. Baginda menegaskan bahawa manfaat pembangunan ekonomi harus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk pekebun kecil, petani, nelayan, serta pemain industri pertanian dan rantaian bekalan makanan negara.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi tinggi, digitalisasi, dan keselamatan siber dalam pentadbiran kerajaan. Baginda bertitah bahawa pemodenan ini akan membawa kepada transformasi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien dan berkesan setelah infrastruktur berkaitan dinaik taraf sepenuhnya.
Dalam istiadat yang sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya fitnah dan hasutan dalam talian serta media sosial yang semakin berleluasa, sehingga menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Saya juga merasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan, dan berpecah-belah. Oleh itu, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini serta bersikap proaktif dalam memberikan maklumat yang betul dan dipercayai,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa Parlimen bukanlah medan perbalahan atau tempat menabur fitnah, sebaliknya merupakan platform yang mulia untuk membincangkan isu-isu kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.
“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja. Saya perhatikan dalam persidangan Parlimen tahun lalu, Ahli-Ahli Dewan banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah diucapkan kepada semua,” titah Baginda.
Namun begitu, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa masih terdapat segelintir Ahli Dewan yang sukar membuang tabiat lama, yang tidak mencerminkan kematangan politik dan tanggungjawab sebenar sebagai pemimpin negara.
Titah penuh hikmah dan tegas daripada Seri Paduka Baginda ini mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap kestabilan negara, perpaduan rakyat, serta kemajuan ekonomi Malaysia.
Rakyat Malaysia turut menzahirkan doa agar Malaysia terus aman, makmur, dan berdaya saing di bawah pemerintahan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.