Seorang warden sebuah pusat tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Melaka pada Selasa atas tuduhan mendera pelajarnya termasuk merotan dan memijak perut serta dada hingga cedera, pada Februari lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashid, 35, yang merupakan warganegara Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan dibacakan di dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan dua pertuduhan di hadapan Darmafikri, dia didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan telah dengan mendedahkan remaja itu kepada bahaya.
Mangsa ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada perut dan dipijak pada dada, manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah guru di Pusat Tahfiz Al-Islah Jalan Sungai Air Hitam, Kampung Baru bertam, Malim di sini pada 7 dan 8 Mei lalu.
Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara tiga lagi pertuduhan di hadapan Mohd Sabri, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah mendedahkan dua pelajarnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun kepada bahaya dengan cara menampar pipi dan memukul badan sebelah kiri mangsa menggunakan rotan buluh, manakala seorang lagi dipijak di bahagian perutnya.
Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei lalu.
Sumber : Sinar Harian