Penyakit kanser payudara mengubah kehidupan seorang wanita sekelip mata apabila kini dia hanya mampu terlantar ekoran kesihatannya semakin merosot.
Keadaan itu menyebabkan H. Malathi, 41, tidak boleh lagi bekerja dan ini memberi kesan mendalam kepadanya kerana memerlukan sumber kewangan bagi mendapatkan rawatan penyakit yang dihidapinya itu.
Lebih menyedihkan, dia yang hidup sebatang kara tanpa keluarga dan kini hanya ditemani rakan-rakan selepas tidak lagi berhubung dengan keluarga angkat.
Cabaran hidup Malathi tidak terhenti di situ apabila dia berpisah dengan suaminya selepas dimaklumkan oleh doktor yang menghidap kanser tersebut.
Malathi yang tidak mempunyai cahaya mata berkata, dia dikesan menghidap kanser payudara pada tahun 2021 apabila mengalami batuk teruk dan pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila pemeriksaan doktor mendapati, rupa-rupanya menghidap kanser payu dara dan sel kanser tersebut juga sudah merebak hingga ke bahagian paru-paru.
“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan kanser itu sudah merebak dan saya sudah menghidap kanser tahap empat waktu itu.
“Saya kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur termasuk menjalani pembedahan membuang ketulan pada payudara.
“Tidak lama selepas itu, saya boleh dikatakan bebas kanser apabila tiada lagi sel kanser yang aktif. Bagaimanapun, Disember tahun lalu, sel kanser tersebut didapati aktif semula dan sudah pun berada di tahap empat,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Ditanya sama ada dia ada menerima bantuan daripada mana-mana pihak, katanya, setakat ini dia cuba untuk memohon bantuan daripada pihak-pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dimaklumkan oleh rakan-rakannya.
Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan bagi meringankan bebanan Malathi boleh menghubungi nombor telefon 011-1684 0308.
Sumber : Kosmo