Wang MARA Wang Rakyat, Ramai Peminjam Mohon Hapus Hutang Begitu Sahaja

KUALA LUMPUR – Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan ramai peminjam Majlis Amanah Rakyat (Mara) memohon kepadanya untuk menghapuskan hutang.

Tidak berupaya memenuhi permohonan-permohonan sedemikian, sebaliknya, Pengerusi Mara itu menegaskan, beliau hanya boleh membantu menstrukturkan semula hutang serta jadual pembayaran balik.

Tegas Asyraf Wajdi, bukan hak beliau untuk menghapuskan hutang peminjam kerana wang Mara merupakan wang rakyat.

“Ramai datang jumpa saya mohon hapus kira hutang Mara. Mohon Maaf ya!

“Untuk menstrukturkan hutang dan jadual pembayaran balik boleh. Selebihnya, bukan hak saya kerana duit Mara adalah duit rakyat” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook peribadinya, pada Selasa.

Pada 17 Mac lalu, Asyraf Wajdi berkata, peminjam yang benar-benar berdepan kesukaran untuk melunaskan bayaran balik pinjaman Mara disarankan supaya berbincang dengan agensi berkenaan.

Katanya, ramai individu yang mengadu kepadanya setelah dihubungi Mara atau peguam agar membuat bayaran balik pinjaman.

Sumber: Kosmo