Lelaki ditahan selepas membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhadapan Petronas Tesco Ampang.
Suspek yang berusia 35 tahun itu memberi alasan membakar mercun sebagai percubaan kerana diminta pelanggan yang mahu membeli mercun dijual rakannya.
Sumber berkata, lelaki terbabit ditahan di tepi jalan selepas video dia membakar mercun di lebuh raya tular di media sosial.
“Suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat. Tujuan dia membakar mercun adalah ‘testing’ seperti diminta pelanggan.
“Video yang tular itu dirakam oleh pelanggan berkenaan. Siasatan lanjut berhubung kejadian kini sedang dijalankan,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang juga pemandu lori itu mendapati dia negatif sebarang penggunaan dadah.
“Permohonan reman terhadap suspek sedang dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan terbabit.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Sumber gambar – Kosmo Digital | Sumber laporan – Harian Metro