Sembilan pekerja kilang, empat warga tempatan dan lima warga China berjaya ditahan hari ini, dipercayai terbabit pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), semalam.
Video rakaman kejadian pergaduhan mereka tular di media sosial berlaku di hadapan sebuah kilang milik syarikat luar negara kira-kira 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua suspek yang dipercayai terlibat berjaya ditahan pada jam 3.30 pagi hari.
“Hasil siasatan awal, kejadian dikatakan berlaku ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar selepas tamat masa bekerja, dengan seorang suspek warga China dikatakan melanggar bahu seorang pekerja tempatan, namun ia tidak diendahkan.
“Bagaimanapun, seorang lagi pekerja warga China tiba-tiba menjerit dan menunding jari ke arah pekerja tempatan terbabit sebelum mengajaknya keluar untuk bergaduh di luar kawasan kilang, sambil memegang sebatang kayu,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Harian Metro.
Gaduh luar kilang, sembilan termasuk warga China ditahan
Kota Kinabalu: Sembilan pekerja kilang termasuk lima warga China ditahan hari ini, dipercayai terbabit pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, semalam. pic.twitter.com/uwruIfgr8j
— @ (@anthraxxx781) February 27, 2024
Menurut Mohd Zaidi, ajakan pekerja asing itu tidak diendahkan pekerja tempatan, namun sebaik berada di luar kilang mangsa ditumbuk dari belakang secara tiba-tiba.
Tindakan pekerja warga asing itu membawa kepada pergelutan dan pergaduhan lebih ramai individu.
Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan serta beberapa pekerja lain.