Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menjalankan kerja-kerja meroboh deretan gerai singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru setelah mengeluarkan notis pemakluman pengosongan tapak itu sejak Oktober 2023.
Seramai 26 penjaja gerai singgang itu akan berniaga di lokasi baharu iaitu Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata, Titiwangsa.
Menurut notis yang dikeluarkan DBKL, setiap penjaja gerai berkenaan dikehendaki mengosongkan tapak selewat-lewatnya 31 Dis tahun lepas dan notis peringatan pula telah dikeluarkan pada awal Januari tahun ini.
Lokasi gerai baharu dilihat akan memberi lebih keselesaan kepada penjaja dan pengunjung disebabkan lokasi gerai asal adalah bersebelahan pusat sementara penyembelihan ayam yang boleh menimbulkan bau kurang menyenangkan kepada pengunjung ditambah keadaan kebersihan di sekitar kawasan perniagaan yang tidak memuaskan.
Tapak tersebut juga terbabit dengan pelaksanaan projek pelebaran jalan.
DBKL sedang menjalankan kerja-kerja meroboh gerai ikan Singgang di Kg Baru yang bermula sekitar jam 9 pagi tadi. @BuletinTV3 pic.twitter.com/YyAn28hsNE
— Fatin Hanani Sahimi (@hananiNewsMPB) January 22, 2024
Sumber : Bernama