TURKIYE sekali lagi mengalami gempa bumi pada pukul 8.04 malam tadi waktu tempatan (1.04 pagi waktu Malaysia).
Gempa bumi kali ini mencatatkan bacaan magnitude 6.4 skala Richter.
Gempa bumi baru yang berpusat di bandar Defne, di wilayah Hatay, Turkiye itu telah mengorbankan 3 orang dan mencederakan lebih 200 orang.
“3 orang telah terkorban dan 213 lagi mangsa cedera. Pasukan mencari dan menyelamat kini berada di tiga bangunan yang runtuh di mana 5 mangsa dipercayai masih terperangkap,” kata Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu semasa ditemubual.
Dalam pada itu, HaberTurk melaporkan penduduk di kawasan terlibat terkejut dengan gegaran gempa bumi berkenaan.
Gegaran yang dirasai dikatakan teramat kuat sehinggakan mereka terpaksa berpegangan antara satu sama lain untuk mengelakkan daripada terjatuh.
Gempa bumi yang terjadi pada 6 Februari lalu telah mengorbankan hampir 45,000 orang di dua negara, Turkiye dan Syria. Sebahagian besarnya di Turkiye, di mana lebih 1.5 juta orang masih lagi berada di khemah perlindungan.
Memetik laporan Al-Jazeera pula, gempa susulan bermagnitud 5.8 melanda daerah Samandag beberapa minit kemudian.
Sumber gambar – Freepik | Sumber laporan – Harian Metro / Al Jazeera