LELAKI yang tular mengamuk di sebuah restoran akibat tidak dipanggil ‘baby’ dan ayang oleh pelayan restoran sudah diberkas pihak polis di sebuah premis di Jalan Samudera utara 2, Taman Samudera 68, Batu Caves, Selangor, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tangkapan dibuat pada pukul 1 pagi tadi itu mendapati suspek yang berusia 50 tahun merupakan seorang penganggur.
“Suspek turut memiliki pelbagai rekod lampau membabitkan jenayah penipuan, mencuri, menghalang tugas penjawat awam dan ugutan jenayah.
“Suspek telah dibenarkan ditahan reman selama empat hari, bermula dari tarikh hari ini sehingga Selasa oleh Mahkamah Majistret Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 506 / 352 Kanun Keseksaan dan siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya selepas lengkap.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki berang gara-gara tidak dipanggil dengan gelaran manja ‘abang’ atau ‘baby’ oleh pekerja restoran telah bertindak mengamuk membaling beberapa biji kerusi dan menendang meja di sebuah restoran sekitar Putra Heights, di sini, Ahad lalu.
Bukan itu sahaja, lelaki yang bertindak agresif itu turut menjerit serta membaling bungkusan dan minuman panas sehingga terkena pada seorang kanak-kanak berusia empat tahun, namun didapati tiada kecederaan.
Difahamkan, pekerja lelaki itu telah memanggil suspek dengan panggilan ‘pak cik’, tetapi suspek meminta pekerja itu memanggil dirinya dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’ namun tidak diendahkan oleh lelaki berkenaan.
Setelah pekerja mangsa menyerahkan bungkusan makanan dan minuman yang dipesan oleh suspek, suspek terus bertindak agresif dengan menjerit memaki hamun serta mengugut akan merosakkan harta benda kedai tersebut.
Suspek juga telah membaling beberapa biji kerusi di dalam premis berkenaan dan juga menendang meja beberapa kali sehingga mendatangkan ketakutan dan gangguan kepada pelanggan lain yang berada di dalam restoran.
Sumber gambar & laporan – Kosmo Digital