SEORANG menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.
Perbuatannya dipercayai bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.
Bebas News yang memetik sumber melaporkan, menteri terbabit mendapat tahu mengenai penahanan itu dan segera ke KLIA.
Sumber itu berkata, apabila dihalang, beliau menggunakan kuasa menterinya termasuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen.
Difahamkan ini adalah kali ketiga menteri itu melakukan tindakan demikian yang membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara ini.
Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Harian Metro