“SAYA tahu mereka hendak berkhemah di situ dan kali ini adalah yang kedua bagi mereka ke sana.
“Mereka juga beriya-iya mengajak saya bersama tapi terpaksa menolaknya kerana ada urusan lain,” kata adik kepada mangsa tragedi kepala air, Azizah Eiyi, 40, yang disahkan terkorban di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman pada Sabtu.
Mohd Ismail Eyi, 36, berkata, tragedi yang berlaku itu di luar jangkaannya, apabila aktiviti riadah keluarga kakaknya termasuk suami, Karim Abdullah, 39 bersama anak-anak mereka Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4 itu menjadi yang terakhir buat mereka sekeluarga.
Menurutnya, lebih memilukan, kegembiraan sembilan sekeluarga itu bersama bakal menantu mereka, Muhammad Fikri Saliman, 24, tunang kepada Putri Balqis Izzati berakhir dengan tragedi menyayat hati dan kedua-duanya masih dilaporkan hilang.
“Mereka bertolak ke sana kira-kira jam 3 petang menaiki kereta dan sebuah motosikal. Itulah kali terakhir kami bersama sehinggalah polis datang ke rumah memberitahu kejadian menimpa mereka.
“Sangkaan awal hanya salah seorang daripada mereka hilang dihanyutkan dalam tragedi itu, namun ternyata meleset apabila diberitahu kesemua mereka hilang dalam tragedi tersebut,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Lepar Hilir 3 pada Isnin.
Mohd Ismail berkata, keluarga kakaknya itu tinggal menyewa di tanah rancangan Felda sama dan mereka berdua sangat rapat.
“Saya sering bertandang ke rumah mereka untuk berbual-bual dan perasan sejak beberapa hari lalu suasana rumahnya itu yang selalunya ceria bertukar sepi.
“Berbeza sangat dengan hari sebelumnya, mungkin itu satu petanda yang mereka akan ‘pergi jauh’. Malah perubahan itu bukan saya sahaja yang sedari malah rakan-rakan dan jiran-jiran mereka juga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, dia dan jiran serta penduduk kampung telah mengadakan persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menyediakan liang lahad lebih awal.
“Awalnya hanya dua liang lahad disediakan selepas kakak dan salah seorang anaknya disahkan meninggal dunia.
“Berdasarkan perkembangan terbaharu dengan empat mangsa ditemui hari ini, kami ambil keputusan untuk sediakan liang lebih besar agar mereka dapat dikebumikan dalam satu liang lahad,” jelasnya.
Tambah Mohd Ismail, dia kini menunggu perkembangan daripada keluarga yang berada di Terengganu untuk tindakan selanjutnya dan berharap mangsa yang masih hilang segera ditemui.
Sumber gambar & laporan – Sinar Harian