Tol percuma, cuti tambahan: Rakyat teruja sambut Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Pengecualian bayaran tol Rahmah selama empat hari dan pengumuman cuti raya tambahan sempena Aidifitri yang bakal disambut hujung minggu ini, menambahkan keterujaan orang ramai menyambut lebaran.

Pelaksanaan Tol Rahmah percuma yang bermula 19 hingga 21 April dan 24 April itu dilihat dapat membantu mengurangkan kos untuk pulang ke kampung halaman serta memudahkan perancangan perjalanan pengguna lebuh raya.

Pekerja syarikat swasta, Aini Syahirah Ismail, 24, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas kemudahan yang diberikan untuk pulang beraya di kampung.

“Sekurang-kurangnya dengan tol percuma ini dapat kurangkan kos purata sekitar RM60 untuk balik beraya ke kampung di Kerteh, Terengganu…sebab saya pun belum terima gaji bulan ini untuk beraya,” katanya kepada Bernama, di sini pada Selasa.

Penjawat awam, Haikal Ashraf, 32, berkata dengan kemudahan itu, beliau tidak perlu lagi memikirkan soal perbelanjaan tol bagi perjalanan dari Putrajaya ke Batu Kawan, Pulau Pinang, selain berharap inisiatif itu dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol seperti kebiasaannya.

“Bersyukur sangat…ini berita yang dinanti-nantikan sejak minggu lepas, sebelum ini biasanya percuma untuk tempoh yang lebih pendek atau dapat rebat tol tapi raya tahun ini (rakyat) dapat tol percuma untuk empat hari.

“Tempoh (pelaksanaan Tol Rahmah percuma) ini pun panjang…jadi boleh siap sedia rancang perjalanan sebab kita tahu musim perayaan ini memang selalu sesak, malah dapat mengelakkan kesesakan akibat isu tidak cukup baki kad Touch n Go,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengumumkan pelaksanaan tol percuma selama empat hari di 33 lebuh raya seluruh negara sempena Aidilfitri melibatkan semua kelas kenderaan.

Anwar turut mengumumkan khabar gembira tambahan hari pelepasan am namun bergantung kepada penetapan tarikh 1 Syawal, iaitu cuti tambahan pada Jumaat (21 April) jika raya pertama jatuh pada Sabtu (22 April), atau cuti tambahan diberikan pada Isnin (24 April) sekiranya raya pertama pada Jumaat (21 April).

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Ma,t berkata keputusan kerajaan memberikan cuti tambahan memberi kelegaan kepada rakyat dalam merancang perjalanan untuk beraya dan tidak menjejaskan permohonan cuti pekerja.”Rakyat tidak lagi bimbang dan cemas untuk membuat perancangan kerana walau apa jua kemungkinan tarikh hari raya ia tidak menjejaskan permohonan cuti mereka,” katanya kepada Bernama.

Bagi petugas syarikat berkaitan kerajaan, Ruzanna Aniza Ahmad Nasruddin, 30, berkata pemberian cuti tambahan itu dapat dimanfaatkan dengan bertemu keluarga dan berkunjung ke rumah sanak saudara dan kenalan di hari lebaran ini.

Pekerja swasta, Muhamad Zulhasni Abdul Rejab, 37, melahirkan rasa teruja dengan pemberitan cuti tambahan yang membolehkannya menyambut lebaran lebih lama kerana beliau hanya bercuti raya bermula Sabtu ini.

“Kalau raya (1 Syawal) jatuh pada Jumaat atau Sabtu, dapatlah cuti tambahan sehari, boleh lah beraya lama sikit dengan keluarga kali ini,” katanya yang akan pulang ke Alor Gajah, Melaka. – Bernama

Sumber : Bernama | Gambar : Klia2.info