Kuala Lumpur: Agihan hasil ekonomi dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat.
Kek ekonomi itu menumpukan pembangunan pelbagai sektor seperti pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara.
Perkara ini sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini, semalam.
Dalam titah baginda, pelbagai aspek penting berkaitan pembangunan negara, kestabilan politik, dan kesejahteraan rakyat telah ditekankan.
Baginda turut membangkitkan kebimbangan terhadap budaya fitnah dan hasutan dalam talian semakin berleluasa.

Pengamal Perlindungan Data, Deepak Pillai berkata, fitnah dan hasutan dalam talian boleh mencetuskan kekeliruan malah boleh membawa kepada perpecahan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.
Katanya, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini dan bersikap proaktif dalam memberikan maklumat yang benar dan boleh dipercayai kepada rakyat.
“Keberkesanan undang-undang baharu dan yang dipinda ini berkaitan dengan membendung fitnah siber khususnya, masih perlu diteliti contoh, perubahan besar dibuat kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) .
“Langkah proaktif boleh diambil untuk membendung penyebaran kenyataan atau kepalsuan fitnah dan memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam komunikasi.
“Pihak berkaitan boleh membuat keputusan untuk menggunakan undang-undang baharu untuk mengenakan keperluan pada platform media sosial supaya mempunyai langkah-langkah untuk membendung fitnah siber dan maklumat salah,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Ahli Kulinari Profesional, Prof. Chef Mohamad Fadzly Che Omar berkata titah itu memastikan kemajuan ekonomi inklusif dan pembangunan infrastruktur pendidikan berkualiti untuk masa depan negara lebih baik.
Katanya, kemajuan ekonomi negara dan rantaian bekalan makanan tempatan dapat memberikan insentif kepada pemain industri kecil dan sederhana (PKS).
“Tumpuan ini memastikan rantaian bekalan makanan negara lebih berdaya tahan di samping memastikan ketahanan makanan negara, terutama dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidakstabilan geopolitik.
“Ini termasuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import,” ujarnya.

Manakala, bagi Prof. Madya Pengajian Kebudayaan dan Kesenian di Jabatan Pengajian Asia Tenggara di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Hanafi Hussin, masyarakat seharusnya mengambil kesempatan daripada Kempen Melawat Malaysia 2026 sebagai landasan meneruskan keunikan negara.
“Demografi negara yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya dapat menarik pemegang taruh kepada industri pelancongan tempatan.
“Justeru, masyarakat dapat secara aktif menjadi pemain industri pelancongan menjanjikan kesejahteraan ekonomi juga sosial, budaya dan politik,” katanya.
Terdahulu, dalam titah berkenaan baginda turut menegaskan bahawa Parlimen merupakan platform utama dalam sistem demokrasi negara, dan ahli berhormat harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding peribadi.
Baginda menyeru kerajaan untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa sering menjadi sasaran fitnah dalam talian.
Baginda turut menekankan kepentingan Kempen Melawat Malaysia Tahun 2026 bakal menampilkan keunikan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat.
Budaya Fitnah Dalam Talian: Seruan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Pada 3 Februari 2025, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Dalam titah baginda, salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah kebimbangan terhadap budaya fitnah dan hasutan dalam talian yang semakin berleluasa.
Baginda menegaskan bahawa perkembangan teknologi digital dan media sosial, walaupun membawa banyak manfaat, turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat yang tidak sahih. Fitnah dan hasutan dalam talian bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat, malah boleh membawa kepada perpecahan masyarakat serta menggugat keharmonian negara. Baginda mengingatkan agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu dan propaganda yang bertujuan untuk mengelirukan serta memecahbelahkan perpaduan nasional.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan tegas dalam membendung budaya ini. Langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan boleh dipercayai. Penggunaan teknologi digital dalam sistem pentadbiran kerajaan juga harus ditingkatkan bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa yang sering menjadi sasaran fitnah dalam talian.
Selain itu, baginda turut menggesa masyarakat supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial. Setiap individu perlu memainkan peranan dalam menangkis penyebaran fitnah dengan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi. Pendidikan mengenai literasi digital perlu diperluaskan bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap implikasi negatif budaya fitnah dalam talian.
Titah Diraja ini juga mengingatkan bahawa perpaduan dan kestabilan negara adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, baginda mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dalam menolak budaya fitnah dan menegakkan nilai-nilai kejujuran, keadilan serta keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Dengan usaha kolektif daripada kerajaan, institusi pendidikan, dan masyarakat, Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang lebih aman dan sejahtera dalam era digital ini.