Tiket konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza habis terjual hanya dalam masa dua jam pada Khamis. Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa terharu, tidak percaya dan sebak di atas penjualan tiket yang habis terjual.
Ramai peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket ke konsert yang bakal berlangsung pada 9 Mac 2024, di Axiata Arena Bukit Jalil itu.
Bagaimanapun menurut Siti Nurhaliza, atau mesra disapa Tokti pihaknya tidak bercadang untuk menambah hari atau mengawalkan konsert itu kerana tidak mahu mengganggu persiapan yang telah dibuat.
“Tidak berjanji untuk menambah hari persembahan kerana sudah menghampiri Ramadan dan untuk sehari awal juga tidak, kerana mahu memastikan gerak kerja teknikal dan produksi lancar pada hari yang sepatutnya, “ jelasnya.
Mengikut perancangan awal, konsert ini sepatutnya berlangsung pada Julai yang lalu namun terpaksa ditangguhkan kerana penyanyi nombor satu di Malaysia itu baru sahaja selesai menjayakan konsert Satu Suara Vol.3 pada bulan Mei.
“Sepatutnya konsert ini dilangsungkan pada bulan Julai lalu namun kami tangguhkan kerana baru sahaja menjayakan konsert Satu Suara Vol.3 pada bulan Mei.
“Kami mohon penangguhan dan mendapat tarikh baharu dari pihak Perbadanan Stadium Malaysia dan Axiata pada 9 Mac 2024.
Menurut Siti Nurhaliza, keputusan untuk mengadakan konsert ini telah diambil dari segala sudut termasuk memandangkan keadaan yang berlaku di Palestin ketika ini.
Sumber : Instagram Siti Nurhaliza