Tiga Puluh Rakyat Malaysia Yang Terkandas, Selamat Tiba Di Port Sudan

TIGA puluh rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, Sudan berikutan pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah selamat tiba di Port Sudan, jam 2.07 petang waktu tempatan semalam.

Memetik laporan Buletin TV3, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang dipindahkan terpaksa mengharungi perjalanan selama 30 jam dan kini akan ditempatkan di zon selamat.

Pasukan Khas (TF) Op Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain termasuk Amerika Syarikat dan Palestin.

“Kita sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang ini keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen iaitu sama ada melalui laluan udara (sewaan khas pesawat) atau melalui laluan laut (kapal laut).

“Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” katanya.

Zambry juga memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan mangsa terlibat.

Konflik di Sudan semakin memburuk sejak 15 April lalu, akibat pertikaian antara tentera Sudan dan RSF, menyebabkan beribu-ribu warga asing terkandas, termasuk diplomat dan pekerja bantuan kemanusiaan.

Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan di tujuh kawasan berbeza di negara itu.

Sumber & Gambar : Buletin TV3