Tiga Bekas Pelajar Menang Saman Terhadap Guru Ponteng Mengajar

KOTA KINABALU: Tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud akhirnya menarik nafas lega apabila memenangi kes saman terhadap guru yang didakwa ponteng mengajar.

Kemenangan tiga bekas pelajar itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Leonard David Shim pada hari ini.

Mahkamah memutuskan lima defendan melanggar kewajipan berkanun mereka mengikut Akta Pendidikan 1966 kerana gagal menyediakan ketiga-tiga pelajar itu untuk menghadapi peperiksaan.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan kelima-lima defendan membayar pampasan keseluruhan berjumlah RM150,000 yang perlu dibayar ke atas ketiga-tiga plaintif iaitiu Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung.

Lima defendan yang dinamakan dalam kes ini adalah bekas guru Bahasa Inggeris SMK Taun Gusi, Mohd. Jainal Jamran; bekas Pengetua SMK Taun Gusi, Suid Hanapi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Menteri Pendidikan Malaysia; dan kerajaan Malaysia.

Ketiga-tiga plaintif mendakwa guru Bahasa Inggeris (Mohd. Jainal) tidak hadir ke kelas untuk mengajar selama tempoh tujuh bulan pada 2015, semasa mereka berada di tingkatan empat. Susulan itu, bekas pelajar SMK Taun Gusi itu memfailkan saman pada 30 Oktober 2018.

Sementara itu, Rusiah, Nur Natasha dan Calvina melahirkan rasa lega kerana perjuangan selama hampir enam tahun akhirnya berpihak kepada mereka.

Melalui kes itu, mereka berharap pihak terlibat sama ada pihak sekolah mahupun Jabatan Pendidikan agar sentiasa memantau kehadiran guru-guru di sekolah bagi mengelakkan situasi sama berulang.

Ketiga-tiga bekas pelajar itu berpendapat, sebarang aduan pelajar perlu diambil serius tanpa ada sebarang tindakan susulan yang akan menyebabkan pembelajaran terkesan kerana ketiadaan guru mengajar.

“Diharap kes ini menjadi motivasi kepada mereka di luar sana yang masih lagi mahu berdiam diri terhadap ketidakadilan. Semoga kemenangan pada hari ini membuktikan bahawa hak-hak kita sebagai rakyat negara harus dilindungi dan dihormati,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia