GARA-GARA tidak berpuas hati antara pelanggan dan pekerja dikatakan menjadi punca utama pergaduhan dalam satu rakaman video dipercayai berlaku di sebuah restoran makanan segera di Rawang, Selangor yang viral di media sosial hari ini.
Seorang pengguna laman Facebook mendakwa, kejadian berpunca daripada tindakan seorang pelanggan menumbuk pekerja restoran makanan segera tersebut kerana tidak puas hati dengan urusan pembayaran.
“Lelaki itu mahu bayar makanan. Sudah bayar pakai Wave dan keluar resit, tiba-tiba mahu tukar kepada Pin memang tidak boleh sebab sudah keluar resit.
“Bising-bising ditumbuk muka budak (pekerja) pandu lalu lebam mata,” dakwanya.
Dia mendakwa, pelanggan tersebut kemudian bertindak memasuki restoran makanan segera itu dengan memanjat kaunter pandu lalu.
“Lelaki itu seterusnya masuk ke bahagian dapur dan mengambil alat pemadam api untuk disembur ke arah pekerja restoran berkenaan,”ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pelanggan itu berjaya disekat oleh pekerja restoran makanan segera berkenaan sebelum lelaki itu ditahan polis.
Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu berlaku di pandu lalu McDonald’s Rawang baru-baru ini.
“Kami memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kecederaan terhadap para pekerja kami dan laporan polis telah dibuat serta mempertimbangkan tindakan undang-undang,” jelas kenyataan itu.
Sumber: Kosmo!