TIDAK perlu tangguh pembukaan sekolah atau lanjutkan cuti susulan keadaan cuaca panas di negara ini, kata Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad.
Beliau sebaliknya mencadangkan agar pelajar diberi kelonggaran untuk memakai baju-T sukan yang bersesuaian ketika mengikut sesi pembelajaran.
Menurutnya, penangguhan atau lanjutan cuti hanya akan merencatkan proses pembelajaran yang akhirnya mengakibatkan sukatan pelajaran tidak sempat dihabiskan, lapor Sinar Harian.
“Dicadangkan pelajar dibenarkan untuk memakai pakaian yang lebih selesa seperti baju-T sepenuhnya bagi meningkatkan keselesaan mereka untuk menyerap peluh, sehingga keadaan kembali pulih,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Menurut Anuar, pemakaian tali leher dan pakaian seragam sekolah bukan sahaja merimaskan bahkan tidak sesuai pada ketika ini.
Katanya, banyak usaha yang boleh dilakukan pihak sekolah selain menangguhkan persekolahan atau melanjutkan cuti.
Selain itu, Anuar turut mencadangkan agar semua aktiviti kokurikulum dibatalkan buat sementara bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada pancaran cahaya matahari terik untuk jangka masa yang panjang.
Sebelum ini, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan dilapor meminta cuti sekolah di negeri utara dan Pantai Timur, perlu dilanjutkan ekoran cuaca panas, sehingga keadaan kembali normal.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) mungkin boleh melanjutkan cuti persekolahan di negeri atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai suhu panas kritikal.
Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Sinar Harian