KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat meneroka kaedah penanaman padi air masin dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras negara pada masa depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, untuk itu, pihaknya telah membuat perbincangan dengan pakar berkaitan termasuk profesor di China mengenai teknologi bersesuaian yang boleh diguna pakai bagi tanaman padi itu di negara ini.
“Perkara ini berada di peringkat awal, sekarang di peringkat perbincangan supaya kawasan di tepi laut air masin itu tidak dibiarkan. Boleh digunakan pada masa akan datang dengan teknologi.
“Dan kita akan minta pandangan pakar dari luar bagaimana mereka berjaya, bukan mereka berjaya sehari, mereka (negara China) buat kajian empat tahun. Kita akan teroka, tak ada sebab Malaysia tidak cukup beras pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus bersama Usahawan Harumanis Kodiang di Pusat Pengumpulan Ladang Harumanis, Kampung Pida 3, di Kodiang dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, isu sistem pengairan dan penjagaan antara faktor pengeluaran hasil padi di Kedah rendah berbanding di Sekinchan, Selangor sekali gus memerlukan tindakan berkesan bagi meningkatkan hasil padi di negeri jelapang padi itu.
“Kalau buat bendang (sawah) tak boleh buat sambilan, mereka (pesawah di Sekinchan) buat bendang sebagai kerja tetap sebab itu di Kedah ini kita nak ke arah itu. (Namun) kita tidak boleh salahkan petani juga sebab sistem pengairan juga penting.
“Kita tak boleh nak bertahan setakat lima tan sehektar. Di Sekinchan kita dapat (antara) lapan hingga 10 tan sehektar, kalau kita dapat enam tan ke atas kita cukup beras di Malaysia. Sekarang petani sudah ambil hal ini secara serius,” katanya.
Beliau berkata, kaedah penanaman padi menerusi skim berskala besar seperti di Sekinchan boleh dipraktikkan pesawah di Kedah sebagai usaha menghasilkan pengeluaran padi yang banyak dengan bantuan dan kerjasama pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Sumber gambar – The Sun Daily | Sumber laporan – Harian Metro