KERAJAAN Terengganu telah menganjurkan program ‘Bulan Madu Kali Kedua’ untuk membantu pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumahtangga.
Program yang melibatkan 40 pasangan di bawah pengendalian Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu tersebut dianjurkan sebagai usaha mengurangkan jumlah perceraian pada masa kini.
Kejayaan menyelamatkan lebih 60 peratus rumah tangga pasangan yang menyertai program berkenaan yang pernah dianjur sebelum ini telah mendorong Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat untuk meneruskan lagi usaha program tersebut.
“Kebanyakan pasangan yang dipilih adalah pasangan yang sudah berkahwin melebihi lima tahun. Kita berharap mereka dapat kembali mesra sepanjang program bulan madu selama tiga hari dua malam di lokasi menarik itu,” kata Hanafiah di dalam sebuah majlis pelancaran tabung derma untuk Turkiye.
Kajian media pernah melaporkan jumlah ibu tunggal yang direkodkan di Terengganu menunjukkan peningkatan iaitu kira-kira 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun.
Sumber gambar – Freepik | Sumber laporan – Berita Harian